Khalid seru pengundi Rantau tolak kempen perkauman, agama

Khalid seru pengundi Rantau tolak kempen perkauman, agama

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad menyeru pengundi di kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Rantau menolak kempen perkauman dan agama yang dimainkan oleh pihak pembangkang.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan itu, Umno dan Pas dilihat akan menggunakan kedua-dua sentimen tersebut termasuk meletakkan calon Melayu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun berkenaan bulan depan.

Sebaliknya, tegas beliau, PH tidak mengambil pendekatan meletakkan calon Melayu kerana blok parti pemerintah itu menyedari negara ini terdiri daripada berbilang kaum dan agama.

“Saya menyeru untuk menukar kempen perkauman dan agama yang akan digunakan oleh Umno dan Pas bagi calon PH pada PRK ini. Kita (PH) tidak mahu memperalatkan kaum.

“Pakatan Harapan adalah gabungan pelbagai parti yang berbilang kaum dan agama kerana itu sahaja yang menjamin masa depan negara yang cemerlang.

“Kita tahu mereka (pembangkang) akan menggunakan isu kaum. Mereka (Parti pembangkang) akan menggunakan isu agama. Hakikatnya, mereka tidak ada modal yang lain,” tegasnya.

Khalid Samad

Bekas anggota Jawatankuasa Kerja Pas Pusat tersebut berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pengumuman Calon PRK N27 Rantau di Mambau, petang tadi.

Sehubungan itu, Khalid mengucapkan tahniah kepada PKR kerana berani mengekalkan Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau, Dr S. Streram untuk bertanding dalam PRK Dun tersebut.

“Dr S. Streram calon paling layak untuk diletakkan di Dun Rantau.

“Dr S. Streram telah bersusah payah turun naik mahkamah kerana telah dihalang dalam PRU-14 lepas,” ujarnya.

Justeru, Khalid turut berjanji untuk memberikan sokongan penuh kepada Penyelaras Dun PKR berkenaan.

“Kita yakin dengan komitmen masyarakat Malaysia dan masyarakat Melayu yang menyedari mesti mempunyai perwakilan yang berbilang kaum.

“Malaysia dimajukan oleh semua kaum dan agama,” tegas adik bongsu kepada pemimpin Umno Tan Sri Shahrir Abdul Samad itu lagi.

Pada 11 Mac lalu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pencalonan pakar bius Dr S. Streram berdasarkan kelayakan akademik, pengalaman kerja dan bertepatan dengan perkembangan semasa PRU-14 lalu.

Untuk rekod, N27  Rantau mempunyai majoriti 27 peratus pengundi India.

Mahkamah Persekutuan pada Februari lalu telah membatalkan kemenangan Timbalan Presiden Umno yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk kerusi Dun Rantau pada PRU-14 lalu sekali gus PRK perlu diadakan.

Sebelum ini, lebih daripada 10 nama telah dikemukakan oleh pelbagai pihak kepada PH Negeri Sembilan memohon untuk dijadikan calon PRK bagi kerusi Dun Rantau.