Malaysia Dateline

Khalid setuju YWP perlu lebih telus

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad setuju agar Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) selalu disiasat agar operasinya menjadi lebih telus berbanding dengan apa yang berlaku sebelum ini.

Khalid setuju cadangan ahli parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil agar YWP sentiasa disiasat berikutan dakwaan kononnya berlaku konflik kepentingan antara kedudukan beliau sebagai pengerusi YWP dengan kedudukan beliau selaku Menteri Wilayah Persekutuan.

“Tidak apa. Kita alu-alukan scrutiny. Kita mahu lebih ketelusan,” kata Khalid dalam jawapan langsung kepada kenyataan Fahmi sebagaimana yang dilaporkan media.

Menurut laporan Free Malaysia Today (FMT), Fahmi bersetuju dengan kehendak beberapa persatuan agar YWP disiasat.

Fahmi berkata, beliau bersetuju agar YWP sepatutnya sama dengan Perbadanan Menteri Besar (MBI) yang ditubuhkan di negeri-negeri.

FAHMI Yayasan Wilayah Persekutuan sama dengan peranan MBI di negeri negeri

“Tetapi oleh kerana Wilayah Persekutuan tidak ada MBI, mereka bergantung kepada YWP,” kata Fahmi.

Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) adalah sama dengan fungsi hampir kesemua yayasan di negeri-negeri di mana menteri besar atau ketua menterinya adalah pengerusi masing-masing.

Manakala di Kuala Lumpur pula, pengerusi kepada YWP adalah Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad.

Pemimpin atau ahli lembaga YWP tidak memegang apa-apa saham dalamnya tetapi ia dibentuk dengan jaminan oleh badan atau kerajaan sendiri.

Menurut sumber, YWP telah memberikan taklimat tentang peranan, fungsi dan kedudukan kewangannya kepada mesyuarat Majlis Menteri di DBKL yang disertai oleh semua ahli parlimen di Kuala Lumpur termasuk Fahmi.

Khalid berkata, beliau bersetuju bahawa di masa lalu YWP telah dijadikan alat politik oleh pihak pemerintah ketika itu dan terlibat dengan banyak projek-projek yang meragukan.

Untuk menukarnya, Khalid berkata, YWP perlu lebih telus dalam operasinya dan programnya boleh diperinci dan dibahas dalam mesyuarat Majlis Menteri yang dibentuk oleh beliau itu.

Ketika zaman BN dahulu, hampir kesemua Ketua Bahagian Umno di Kuala Lumpur adalah ahli lembaganya manakala programnya pula dibuat melalui Umno bahagian.

Pemberian atau penjualan tanah milik DBKL kepada YWP adalah sumber hasil utamanya.

Namun selepas Khalid menjadi pengerusinya, pemberian atau penjualan tanah dengan harga murah oleh DBKL tidak lagi akan menjadi sumber pendapatan YWP.

Antara projek YWP yang menjadi sasaran pengkritik adalah Taman Rimba Kiara dan Tiara Titiwangsa yang menjadi pertembungan antara persatuan penduduk dengan projek pembangunan di atas tanah itu.

Untuk Taman Rimba Kiara, Khalid mencadangkan agar pembangunannya dikurangkan 50% manakala separuh tanahnya dijadikan kawasan lapang sebagaimana yang dituntut oleh sebahagian penduduk.