Malaysia Dateline

Khalid tarik balik serangan peribadi kepada Hadi, namun pertahan hujjah

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad hari ini menarik balik serangan peribadi kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan meminta maaf dari beliau.

Tindakan itu dibuat selepas beliau dinasihatkan oleh Penasihat Umum AMANAH, Datuk Seri Ahmad Awang.

Bagaimanan pun, Ahli Parlimen Shah Alam itu bertegas mempertahankan hujjah beliau bahawa Pas bukan model politik Islam.

“Saya telah dihubungi oleh Penasihat Umum AMANAH, Datuk Seri Ustaz Ahmad Awang.

“Beliau menasihatkan saya supaya menarik balik kenyataan saya menyerang secara peribadi terhadap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di mana saya telah berkata, “Presiden Pas sudah tidak centre” apabila beliau berkata sesiapa yang ingin mempelajari politik Islam boleh rujuk pada Pas.

“Saya dengan ini menarik balik perkataan “Presiden Pas sudah tidak centre” itu dan meminta maaf. Ini kerana saya tidak berniat untuk membuat serangan peribadi terhadap beliau,” katanya dalam satu sidang media di pejabatnya dekat Shah Alam hari ini.

Walau bagaimanapun, Khalid berkata, beliau mempertahankan hujjah bahawa Pas bukan model politik Islam yang sebenar.

“Bagi saya Ustaz Hadi telah mengkhianati perjuangan Pas yang ingin menghayati perjuangan Islam sebenar apabila bekerjasama dengan Umno dan menyertai pula kerajaan PN,” katanya.

Ini kerana, katanya, sejak dari awal lagi, ketika kepimpinan Almarhum Datuk Asri Muda ditolak oleh perwakilan Pas pada 1982, perjuangan yang ingin dibawa adalah perjuangan Islam yang bebas dari perkauman dan penyelewengan.

“Oleh itu sikap bersama kerajaan pintu belakang atau tebukan bumbung PN adalah jauh tersasar dari perjuangan yang dibawa kepimpinan Al-Marhum Ust. Fadhil dan Al-Marhum Tok Guru Nik Aziz,” tegasnya.

Khalid juga berkata, apa yang berlaku kepada Tun Dr Mahathir Mohamad sekarang adalah sama dengan apa yang dialami oleh beliau dan rakan-rakannya dalam AMANAH.

“Tun Dr Mahathir berkata, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengkhianati perjuangan Bersatu.

“Ini adalah kerana perjuangan Bersatu adalah untuk membina parti Melayu yang bebas rasuah untuk gantikan Umno.

“Dengan Muhyiddin membawa Bersatu keluar PH dan bersekongkol membentuk kerajaan PN bersama Umno, maka matlamat ini telah dikhianati beliau,” katanya.

Khalid mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Ustaz Ahmad Awang kerana memain peranannya sebagai ulama dan pemimpin.

“Beliau menegur dan menasihat saya apabila terlanjur. Dan inilah antara peranan terpenting ulama, membimbing dan menasihati, bukan mengapi-api atau mencari dalil menegakkan benang basah,” katanya.