Khalid tawar universiti Jepun buka cawangan di Putrajaya

Khalid menyerahkan cenderamata dari Perbadanan Putrajaya kepada Dr Miyagawa.

 

Kerajaan Jepun berminat untuk membuka cawangan universiti-universiti Jepun di Malaysia, kata Duta Besar Jepun ke Malaysia, Dr Makio Miyagawa.

Duta Miyagawa berkata demikian ketika membuat kunjungan hormat kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad di pejabatnya dekat Putrajaya hari ini.

Serentak dengan itu, Khalid dan pegawainya menawarkan Putrajaya sebagai tapak untuk pembinaan cawangan universiti itu memandangkan pusat pentadbiran Malaysia itu masih mempunyai tanah yang banyak untuk dijadikan tapak universiti itu.

Duta Miyagawa memaklumkan, pembukaan cawangan universiti Jepun di Malaysia adalah antara persefahaman yang telah dicapai Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan pemimpin Jepun ketika beliau melawat ke sana baru-baru ini.

Menurut beliau, sehingga kini tidak ada sebarang universiti di Jepun membuka cawangannya di luar negara.

Jika ia menjadi kenyataan, ia adalah cawangan universiti Jepun yang pertama di luar negara.

Selain universiti, Khalid juga menawarkan Putrajaya sebagai tapak baru pejabat kedutaan Jepun ke Malaysia jika negara itu memerlukan pejabat kedutaan yang baru memandangkan pusat pentadbiran Malaysia terletak di sini.

Dr Miyagawa adalah duta negara asing yang pertama melakukan kunjungan hormat terhadap Khalid selepas beliau mengangkat sumpah sebagai Menteri Wilayah ekoran kemenangan Pakatan Harapan dalam PRU 14 lalu.

Turut menerima kunjungan beliau adalah Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah, Datuk Seri Adnan Md Ikhsan dan pegawai-pegawai kanannya.

8.5
OVERALL SCORE
: 7.0
1 user vote x 10.0
CATEGORIES
TAGS