Malaysia Dateline

Khalid terkilan PM enggan jelaskan mengapa aset kerajaan lewat dikerah bantu rakyat

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad tidak menafikan sememangnya wujud ketidakcekapan dari pihak kerajaan Persekutuan sendiri dalam mengatur gerakkan aset dan tentera negara sewaktu bencana besar melanda.

Beliau menyatakan rasa kesal apabila sidang khas Parlimen bagi membincangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 yang ditangguhkan, tidak ditukar dengan agenda membahaskan isu meruncing berkenaan banjir di Selangor.

Menurutnya, perdana menteri sepatutnya memberi penjelasan dalam sidang khas Parlimen untuk menjelaskan situasi sebenar mengapa tentera lewat dikerahkan, namun kesemua menteri Kabinet didakwa seperti mengelak berbuat demikian.

“Sampai hari ini kita agak susah nak cari jawapan kenapa tindakan dari kerajaan agak lambat.

“Kita tak faham kenapa peranan pihak berwajib itu tidak seperti mana kita lihat dahulu. Dahulu bila banjir besar di Kelantan, rakyat banyak turun membantu. Tapi pada masa sama kita nampaklah peranan agensi-agensi kerajaan. Hanya kali ini atas sebab kerajaan yang ada tak cekap, Kabinet besar dan ramai, mereka tak tahu apa nak buat.

“Itu yang kita rasa terkilan kerana perdana menteri ada peluang untuk menjelaskan tapi semua macam tak sanggup.

“Ini bukan soal nak salahkan Speaker (yang tak membenarkan isu banjir dibahas) tapi lebih kepada menteri-menteri tidak sanggup. Mereka semua pun nak mengelak,” katanya dalam bicara Yb Khalid Samad membincangkan topik ‘Pengurusan banjir: Di mana silapnya?’ di Facebook Jom Channel malam tadi.

Khalid yang juga Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional berpendapat, biarpun beberapa negeri kini masih berhadapan dengan situasi banjir, aset kerajaan masih juga kurang diturunkan membantu rakyat.

Beliau juga mempersoal di mana aset-aset kerajaan yang selama ini gah ditunjukkan pada rakyat.

Pada masa sama beliau mengkritik tindakan parti Bersatu yang ketika banjir melanda, mesyuarat agung tahunan mereka tetap juga diteruskan tanpa memahami krisis dialami rakyat.