Malaysia Dateline

Khalid terus pergiat kerja menyelamat mangsa banjir

Sejak malam tadi, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad masih lagi mempergiat usaha bersama sukarelawan untuk membantu mangsa banjir yang terselamat.

Khalid menerusi hantaran Facebook tengah malam tadi berkata, beliau dan pasukan sukarelawan masih lagi meneruskan kerja-kerja melawat dan menghantar makanan kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Seksyen 24 dan Batu 3.

Khalid menyumbang bantuan makanan malam tadi

Beliau turut meluangkan masa bertanya khabar dan menyelami kesedihan yang dialami penduduk.

“Semoga tabah dan semangat menghadapi ujian ini,” tulisnya.

Selama lebih tiga hari berturut-turut Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Shah Alam telah dikerahkan tenaga membantu menyelamatkan mangsa-mangsa yang terperangkap dan memerlukan bantuan makanan.

Selain menggunakan kayak kembung sebagai insiatif menghantar bantuan makanan ke kawasan yang terputus hubungan, ‘lori hantu’ juga digunakan sebagai alternatif untuk merentasi jalan yang ditenggelami air agak tinggi.

Kawasan Taman Sri Muda Shah Alam antara kawasan tumpuan bagi kerja-kerja menyelamat susulan ramai penduduk terperangkap dan terkandas di rumah mereka.