Khalid teruskan saman terhadap Wan Asshima

Zulhazmi dan Setiausaha Politik Khalid, Azli menunjukkan laporan polis yang dibuat terhadap Wan Asshima.

Menteri Wilayah Khalid Samad akan meneruskan saman terhadap Pengerusi Gerakan Muslimah Islam Malaysia (GMIM), Wan Asshima Kamarudin selepas membuat fitnah kepada beliau menganjurkan pesta gay di Kuala Lumpur.

“Saya menerima surat dari peguam Wan Asshima yang menyatakan permohonan maaf Wan Asshima tetapi saya tidak berpuashati dengan permohonan itu kerana beliau cuba untuk membuat justifikasi pula dari fitnah itu.

“Tidak ada justifikasi untuk sesaorang membuat fitnah. Oleh itu saya akan meneruskan saman saya,” kata Khalid dalam sidang medianya semalam.

Wan Asshima melalui video yang ditularkan mendakwa Khalid dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mujahid Yusof menganjurkan Pesta Gay di Kuala Lumpur.

Ketika memohon maaf, Wan Asshima berkata, dia cuba membuat teguran secara terbuka kepada kedua-duanya dalam video itu dan berniat baik.

“Saya amat berharap Khalid dapat menerima teguran secara terbuka dan bersikap profesional dan beristiqamah dalam menerima tanggungjawab untuk menjaga negara ini,” katanya.

Selain menghadapi saman sivil dari Khalid, polis juga sedang menyiasat Wan Asshima selepas menerima laporan polis dari Pegawai Tugas-tugas Khas Khalid.

Khalid sendiri telah diambil kenyataan kira-kira satu jam oleh polis berkaitan dengan laporan itu.

 

CATEGORIES
TAGS