Khalid tidak bercadang sertai mana-mana parti politik

Khalid tidak bercadang sertai mana-mana parti politik

Bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak bercadang untuk menyertai mana-mana parti politik buat masa ini kerana masih menunggu keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) berhubung pemecatannya daripada PKR.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak bercadang untuk menyertai mana-mana parti politik buat masa ini kerana masih menunggu keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) berhubung pemecatannya daripada PKR.

Katanya, beliau masih lagi menunggu keputusan daripada ROS sama ada pemecatannya daripada parti politik itu sah mengikut peraturan atau sebaliknya.

“Saya telah meminta ROS untuk menentukan sama ada berlaku ketidakadilan semasa saya dipecat pada Ogos 2015 dan saya masih menunggu keputusan itu,” katanya kepada pemberita semasa melakukan tinjauan mesra di pekan Sungai Besar,hari ini.

Abdul Khalid dipecat daripada PKR berikutan keengganan beliau untuk menyerahkan jawatan menteri besar kepada Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Semasa diminta mengulas penglibatannya dalam kempen untuk calon Pas Dr Abdul Rani Osman pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar, beliau berkata ia adalah untuk membalas budi parti itu yang sentiasa menyokongnya.

“Dalam pilihan raya umum 2007 dan 2013, PAS banyak membantu saya, begitu juga semasa krisis menteri besar Selangor pada 2014,” kata Abdul Khalid.

PRK Parlimen Sungai Besar menyaksikan calon Barisan Nasional (BN) Budiman Mohd Zohdi ditentang Dr Abdul Rani serta calon Parti Amanah Negara (Amanah) Azhar Abdul Shukur, yang mewakili Pakatan Harapan.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu.

Pengundian pada 18 Jun.

TAGS