Khalid tinjau kembali terowong bawah tanah Putrajaya

Khalid serta pegawainya turun melihat kembali terowong yang telah dibina sejak 20 tahun lalu tetapi tidak digunakan.

Ramai tidak tahu, 20 tahun lalu sudah terbina terowong bawah tanah yang menghubungkan tempat-tempat utama di Putrajaya, namun ia ditinggalkan begitu saja oleh pentadbiran yang mengambil alih tampuk kuasa di Putrajaya.

Ia dibina untuk membolehkan keretapi ‘monorel’ dibina melalui terowong itu dan menghubungkan warga Putrajaya dan pelawatnya dengan semua kawasan dan jalan utama di pusat pentadbiran negara itu.

Semalam, Menteri Wilayah, Khalid Samad bersama pegawai kanan Perbadanan Putrajaya meluangkan masa hampir dua jam turun ke terowong bawah tanah ini bagi melihat sendiri keadaan.

Ternyata ia masih teguh dan kukuh dan sedia digunakan semula jika kerajaan sedia untuk menggunakan semula terowong ini.

Khalid diberikan penerangan tentang terowong yang sepatutnya menjadi tapak landasan monorail.

Sejak kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih Putrajaya, pelbagai cadangan masuk untuk menyelesaikan masalah pengangkutan awam di Kuala Lumpur dan juga Putrajaya.

Antara cadangan untuk menggunakan semula terowong yang telah siap dibina sejak 20 tahun lalu ketika Putrajaya mula dibangunkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Azli Yusof, Setiausaha Politik Khalid melalui facebooknya, terowong yang telah menelan belanja puluhan juta itu akan digunakan semula.

“Kementerian Wilayah dan Perbadanan Putrajaya sangat komited untuk mempastikan isu pengangkutan awam di Putrajaya diselesaikan, dirancang dan dibina mengikut Pelan Induk Putrajaya yang asal,” tulis beliau.

 

CATEGORIES
TAGS