Malaysia Dateline

Khalid tinjau pasaraya, minta jangan belian panik, bekalan mencukupi

Walaupun tidak lagi menjadi menteri, namun tugas sebagai Ahli Parlimen tidak diabaikan oleh bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad.

Dengan #MalaysiaPeduli, pagi ini, Khalid telah meninjau Pasaraya Tesco Extra, Shah Alam bagi meninjau keadaan di pasaraya itu selepas pembelian panik malam tadi.

Khalid berbincang dengan pihak pengurusan Texco Extra, Shah Alam ketika membuat lawatan ke pasaraya itu pagi ini,

Beliau dapati sebahagian barangan khasnya barangan makanan kering telah tidak ada lagi di atas rak, namun begitu bahan makanan utama iaitu beras masih kelihatan banyak.

Beliau meminta pihak pengurusan pasaraya itu memenuhkannya mana-mana makanan yang berkurangan segera.

Semasa kunjungan itu, Khalid telah mengenalpasti kecukupan stok barangan terutama barangan makanan di pasaraya itu.

Beliau turut berbincang dengan pihak pengurusan bagi memastikan barangan sentiasa ada untuk memenuhi keperluan ketika kerajaan membuat sekatan ekoran Covid-19.

Menurut Khalid, beliau bimbang pembelian panik yang berlaku ekoran pengumuman kerajaan semalam.

“Saya khuatir dengan panic buying lalu melihat status bekalan di Tesco Seksyen 13, Shah Alam. Saya dapati ada beberapa rak telah kosong tetapi bekalan barangan asas seperti beras, ikan, ayam masih terkawal,” kata Khalid kepada Malaysia Dateline.

Sehubungan itu, beliau meminta warga Shah Alam dan kawasan lain agar jangan membeli untuk stok.

“Beli seperti biasa sahaja, untuk bekalan mingguan,” katanya.

Khalid juga berkata, pihak Tesco memaklumkan mereka tidak ada masalah dengan bekalan.

“Pegawai Tesco memberitahu bekalan ok. Akan order yang sudah habis tetapi biarlah pembelian secara biasa.

“Jangan panic buying (belian panic),” nasihat Khalid kepada orang ramai.