Malaysia Dateline

Khalid ucap terima kasih kepada Ustaz Ebit Lew

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad mengucapkan terima kasih kepada Ustaz Ebit Lew yang memberikan sumbangan berupa barangan dapur kepada 250 pemandu bas dan van sekolah di kawasannya.

Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional itu berkata, sumbangan pendakwah terkenal terbabit dapat meringankan beban kewangan mereka yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

“Tahniah dan terima kasih kepada Ustaz Ebit Lew dan krew yang datang ke Shah Alam menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mereka yang memerlukan,” katanya di Twitter.

Terdahulu, Ebit mengakui sebak apabila pemandu van dan bas sekolah terbabit meminta bantuannya selepas mereka hilang sumber pendapatan sejak enam bulan lalu.

Sehubungan itu, beliau menghadiahkan barangan dapur yang dibungkus dari pasaraya miliknya, Elewsmart kepada 250 pemandu terbabit selain wang belanja kepada beberapa individu.

“Sedih rasa, tahun 2020 cuma enam bulan ada pendapatan. Enam bulan lagi langsung tiada pendapatan.

“Enam bulan nak tampung setahun. Macam mana untuk kelangsungan hidup. Ramai yang jadi grab food, food panda dan jual kuih dan berniaga kecil-kecilan.

“Tengah zaman hari ini nak mulakan perniagaan bukanlah senang. Ya Allah. Syarikat besar pun banyak tutup,” ujarnya.

Ebit yang dikenali banyak membantu secara langsung golongan yang kurang berkemampuan itu menyifatkan mereka termasuk pemandu-pemandu wanita seperti ahli keluarga sendiri.

“Tengok mereka macam abang kakak, ayah, mak kita sendiri. Tanpa mereka, susahnya mak ayah nak urus anak-anak ke sekolah.

“Kini semua mak ayah bekerja. Mereka memudahkan agar anak kita menjadi orang mulia dan berjaya.

“Kini waktu ujian mereka pula. Marilah kita doakan dan cuba bantu mereka walau sedikit. Semoga Allah terima usaha kecil kita,” tambahnya lagi.

Seramai 250 pemandu bas sekolah di Shah Alam menerima sumbangan daripada Ustaz Ebit Lew.