
Kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa adalah konsisten dan perlu difahami kaedah sebenar pencegahan yang ingin dilaksanakan.
Sebaliknya apa yang cuba diinterpretasikan adalah bergantung kepada kaedah proses pencegahan kemungkaran yang akan dilakukan oleh pihak berwajib.
Demikian dinyatakan oleh Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid ketika ditemui di Seberang Jaya semalam.
Malah katanya lagi, kemungkaran sudah pasti wajib dihalang, lebih-lebih lagi membabitkan pihak yang menguatkuasakan undang-undang.
“Pendekatan bagaimana tindakan yang hendak dilakukan harus menepati cara yang dibenarkan oleh Islam.
“Ia harus menurut undang-undang yang telah dibuat oleh kerajaan serta pihak berkuasa negeri-negeri yang diumumkan bagi mencegah kemungkaran dan menyeru kepada kebaikan.
“Mencegah kemungkaran harus dilihat samada kemungkaran tersebut ia dilakukan secara terbuka atau tertutup, manakala tradisi kita pula adalah dilarang mengendap dan mengintip, ” ujarnya lagi.
Walau bagaimana pun jelasnya, sekiranya telah dilaporkan dan sahih sudah tentu pihak berkuasa yang mempunyai autoriti undang-undang harus respon pada laporan yang diperolehi
Pihak yang menerima aduan pula katanya mesti menyiasat dengan betul kesahihan aduan yang diterima membabitkan kemungkaran yang didakwa.
“Setelah ada laporan sudah pasti ia perlu disiasat dan tidak timbul isu rosakkan privasi orang lain.
“Pada persepsi saya, pendekatan yang diambil oleh Dr Mujahid adalah prinsip yang utama iaitu jangan buat kerja hanya dalam keadaan syak tanpa maklumat yang kukuh.
“Seandainya telah ada laporan maka pihak berkuasa mesti bertindak kecuali sekiranya tiada laporan dan tidak perlu untuk setiap kali mengetuk premis demi premis, ” tegas beliau lagi.
Tambahnya lagi, masyarakat sekitar kawasan terbabit perlu memberi maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya telah pasti bahawa wujudnya atau disyaki kemungkaran berlaku.
Namun begitu katanya, kemungkaran yang berlaku tidak harus dibiarkan berleluasa dan bermaharajalela.