30 pemimpin Amanah khatam Quran setiap bulan di Kelantan

30 pemimpin Amanah khatam Quran setiap bulan di Kelantan

Program khatam Quran bulanan melibatkan pimpinan Amanah negeri dan kawasan-kawasan seluruh Kelantan yang bermula November tahun lalu telah disempurnakan buat kali pertama di Wisma Tok Guru Salor.

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata program cadangan penasihat Amanah negeri Datuk Husam Musa itu amat sesuai diamalkan oleh ahli Amanah di semua peringkat.

“Setiap bulan seramai 30 pimpinan dikumpulkan dalam satu halaqat dan setiap orang dikehendaki membaca satu juzuk yang ditentukan.

“Jadi setiap bulan, satu kumpulan akan khatam bacaan 30 juzuk al Quran,” katanya.

Menurutnya sehingga ini Amanah telah berjaya mewujudkan tiga kumpulan melibatkan 90 orang.

“Pada hari Jumaat setiap hujung bulan, satu majlis khatam akan diadakan secara beramai-ramai selepas kuliah Jumaat di Wisma Tok Guru,” katanya.

Dalam majlis yang diadakan Jumaat lalu, tiga kumpulan yang berjaya mengkhatamkan al-Quran untuk bulan November dan Disember telah bersama-sama hadir ke majlis khatam tersebut.

Pengarah Kepimpinan dan Sumber Manusia Amanah Kelantan Hafiz Musa telah mengetuai majlis tersebut.

Wan Rahim yakin program seperti ini akan menjadikan ahli-ahli Amanah sentiasa rapat dengan al Quran dan menolak tuduhan liar kononnya Amanah satu parti yang meninggalkan perjuangan Islam.

“Program ini akan kita perluaskan sehingga setiap ahli yang menyertai Amanah akan terlibat dengan program khatam bulanan seperti ini sebagai salah satu pengikat ahli-ahli dan pimpinan parti.

“Pihak biro berkaitan hal ini juga akan merangka banyak lagi program-program kerohanian bagi membolehkan ahli-ahli Amanah meningkatkan diri dan menjadi teladan kepada seluruh masyarakat,” katanya.

TAGS