Khatan Perdana: Rungutan ibu bapa hanya mainan politik kepartian,  kata Jamal

Khatan Perdana: Rungutan ibu bapa hanya mainan politik kepartian,  kata Jamal

Pengerusi Gabungan NGO 1Malaysia Datuk Seri Jamal Md Yunos mengingatkan sekumpulan ibu bapa sewajarnya menyokong usaha dilakukan oleh mana-mana  NGO di negara ini yang bekerjasama dengan  mana-mana parti politik dalam satu program yang baik untuk rakyat.

Beliau mendakwa rungutan ibu bapa terhadap Majlis Khatan Perdana 2017 di Sekolah Kebangsaan Pandan Indah, pada Sabtu, sebagai mainan politik kepartian oleh penyokong parti pembangkang.

“Kita di bawah NGO Gabungan adakan banyak program di Selangor bukan hanya di Bahagian Pandan sahaja. Atas inisiatif dilakukan oleh pihak penganjur dikalangan NGO yang pro Umno ini kami merancang adakan progam berkhatan yang ditaja oleh NGO dengan kerjasama Pemuda Umno.

“Jika ada dikalangan mana-mana pihak yang nak buat program sama buatlah, tapi mereka kenalah mohon pada pihak sekolah sebagaimana NGO kami lakukan.

“Ini adalah program CSR (tanggungjawab sosial korporat) yang mana ibu bapa kepada pelajar di sekolah tersebut tidak mengeluarkan sebarang perbelanjaan berkhatan untuk anak mereka, semuanya ditanggung oleh pihak pengelola yang terdiri daripada ahli NGO kami.

“Jadi janganlah iri hati apa yang NGO pro Umno di bawah gabungan  persatuan ini buat,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Datuk Seri Jamal Md Yunos

Datuk Seri Jamal Md Yunos

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan sebahagian ibu bapa pelajar dari Sekolah Kebangsaan Pandan Indah semalam,  yang mempersoalkan tindakan Umno Bahagian Pandan yang menjemput Datuk Seri Jamal Md Yunos dan mendakwa Umno menyalahgunakan premis sekolah untuk kepentingan politik kerajaan BN.

Jamal turut menjelaskan sebab  gabungan NGO itu bekerjasama dengan Pemuda Umno sedangkan sebelum ini kerajaan BN melarang sebarang aktiviti politik di premis sekolah di negara ini.

“Kita bukan berpolitik walaupun Pemuda Umno tapi mereka berkhidmat atas nama NGO, yang mana Ketua Umno dan Ketua Pemuda Bahagian Pandan juga ahli NGO kami, tidak kisahlah dia orang politik atau pun seorang aktivis sekalipun, program yang baik tidak perlu dipersoalkan. Kita bukannya buat program ceramah politik di sekolah berkenaan.

“Perkara ini saya rasa masyarakat yang menyokong pihak sana tak kiralah parti mana yang mereka sokong (Pas dan Pakatan Harapan) jangan menggunakan nama sekolah dan PIBG  (Persatuan Ibubapa dan Guru) kononnya memihak kepada kerajaan BN berbanding parti pembangkang yang memerintah di Selangor.

“Saya tahu mungkin dalam barisan ahli jawantankuasa ada penyokong Pas atau Pakatan Harapan yang sebenarnya tidak bersetuju dengan keputusan pihak sekolah dan PIBG mengizinkan NGO kami adakan program berkhatan ini.

“Sebenarnya perkara ini dipolitikan. Kalau perkara yang baik  kita perlu  sama-sama sokong tetapi jangan pula menyokong kerajaan yang setuju buka pusat judi haram, rumah urut haram dan disko di negeri Selangor ini,” ujarnya sinis.

Tambah Jamal lagi, pihak pengelola yang terdiri daripada beberapa NGO di bawah gabungan itu telah berhubung dengan PIBG dan pihak sekolah untuk mengadakan program berkhatan itu.

“Pengelola telah berhubung dengan pihak sekolah dan PIBG untuk mengadakan program berkhatan.

“Saya sendiri dimaklumkan oleh pengelola, mengenai program diadakan itu mendapat sambutan baik daripada ibu bapa di sana dan berharap program sedemikian dapat diteruskan lagi,” ujarnya.

Ditanya mengenai dakwaan imej buruk beliau sebelum ini yang memprotes kerajaan negeri dalam beberapa isu di Negeri Selangor, yang mana wakil  ibu bapa terbabit  mendakwa,  imejnya  akan memberi kesan buruk kepada pelajar, Jamal yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu pula berkata, beliau disenangi oleh sebahagian masyarakat.

“Itu mereka kata…tapi di mana-mana tempat saya pergi, saya amat diingati dan disenangi mereka. Contohnya saya selalu diminta berswafoto dengan rakyat pelbagai peringkat umur.

“Jika saya digambarkan perlakuan sebagai ‘tidak baik atau ganas’ takanlah orang suka nak bergambar dengan saya. Ini isu kecil tapi sengaja diperbesarkan.

“Melalui Gabungan NGO 1Malaysia juga saya ada buat tajaan  untuk program berkhatan, sebab itu gambar saya diletakkan di banner untuk majlis perasmian.Tidak  sangka pula isu ini diberbesarkan,” ujarnya dalam nada kesal

Beliau turut menjelaskan ketidakhadirannya pada perasmian program tersebut disaat akhir, kerana berada di Sepang dalam satu majlis NGO yang beliau turut terbabit.

“Pada hari program berkhatan diadakan, saya dijemput merasmikan tetapi tidak dapat hadir kerana kesuntukan masa disebabkan ada program lain di Sepang.” ujarnya.

.Baca: Khatan Perdana: Wakil ibu bapa dakwa tidak dimaklum, Umno salahguna premis sekolah

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS