Malaysia Dateline

Khazanah jual 16 peratus ekuiti dalam IHH kepada Mitsui dengan harga RM8.42 bilion

Khazanah Nasional Bhd  (Khazanah) memeterai perjanjian dengan Mitsui & Co. Ltd. (Mitsui) dari Jepun untuk menjual 16 peratus atau 1,403,087,400 sahamnya dalam IHH Healthcare Bhd (IHH), pada RM6.00 sesaham dengan harga RM8.42 bilion.

Susulan penjualan itu, pemegangan saham Khazanah dalam IHH akan berkurangan kepada 26.05 peratus.

Ini adalah berdasarkan kepada modal saham diperbesar IHH selepas syarikat itu menyelesaikan pembelian tambahan 30 peratus kepentingan ekuiti dalam Acibadem Saglik Yatirimlari Holding A.S.

IHH mengumumkan pembelian kepentingan dalam Acibadem pada 8 Okt, 2018.

Urus niaga dengan Mitsui, yang membentuk sebahagian penting daripada penyusunan semula portfolio Kazanah, tertakluk kepada kelulusan kawal selia relevan dan penyelesaian pengambilalihan Acibadem.

Hasil daripada penjualan itu akan digunakan bagi pelaburan baharu dan keperluan modal.

Khazanah berkata ia akan terus menjadi pemegang saham utama dengan perwakilan dalam lembaga pengarah IHH dan menyediakan kestabilan kepada pemegang saham IHH  pada masa hadapan.

“Urus niaga itu juga menunjukkan keyakinan Mitsui terhadap pertumbuhan platform IHH.

“Khazanah terus komited menyokong kumpulan itu dan berharapkan kejayaan IHH pada masa depan.

“Penjualan itu merupakan sebahagian daripada strategi Khazanah untuk mengembangkan perniagaan yang kami labur dan mencari masa dan nilai yang sesuai untuk mewujudkan kecairan bagi keperluan modal dan pelaburan pada masa depan,” Pengarah Urusan Khazanah Datuk Shahril Ridza Ridzuan dipetik sebagai berkata dalam kenyataan itu.

Khazanah menjangkakan urus niaga itu selesai pada suku pertama 2019.

— BERNAMA