Khazanah jual 16 peratus kepentingan IHH kepada Mitsui

Khazanah jual 16 peratus kepentingan IHH kepada Mitsui

Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) bercadang melupuskan 16 peratus kepentingan atau 1.40 bilion saham dalam IHH Healthcare Bhd (IHH) kepada Mitsui & Co Ltd membabit pertimbangan tunai RM8.42 bilion atau RM6 sesaham.

Dalam satu kenyataan hari ini, Khazanah berkata dengan pelupusan itu, pegangan sahamnya dalam IHH akan susut kepada 26.05 peratus.

Ia berkata, ini disandarkan kepada modal saham diperbesarkan IHH selepas pengambilalihan 30 peratus kepentingan ekuiti tambahan dalam Acibadem Saglik Yatirimlari Holding A.S oleh IHH selesai.

IHH mengumumkan pengambilalihan Acibadem pada pada 8 Oktober lalu.

Khazanah berkata, transaksi itu tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa terbabit dan selepas pengambilalihan Acibadem selesai.

Khazanah berkata, pelupusan itu adalah sebahagian daripada pengstrukturan semula portfolio, dan dana daripada pelupusan itu akan dimanfaatkan untuk pelaburan baharu dan keperluan modal.

Sementara itu, Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, berkata transaksi itu jelas menunjukkan keyakinan Mitsui dalam pertumbuhan platform IHH.

Beliau menjangka transaksi itu akan diselesaikan pada suku pertama 2019.