Malaysia Dateline

Khemah Besar bukan lagi slogan tetapi perlukan pelaksanaan, kata Mohamad Sabu

Presiden AMANAH, Haji Mohamad Sabu menegaskan, gagasan Khemah Besar atau Big Tent tidak lagi boleh menjadi slogan semata-mata tetapi perlukan pelaksanaan.

Penegasan ini dibuat oleh beliau ketika memberikan Pidato Presiden dalam Konvensyen AMANAH 2021 yang diadakan hari ini.

“Khemah Besar atau big tent ini perlu dilaksanakan bukan slogan semata-mata,” kata beliau dalam ucapan itu.

Menurut Mohamad, kegagalan AMANAH dan PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Sarawak adalah implikasi dari kegagalan melaksanakan gagasan ini.

“Kita gagal banyakkan rakan, sebab itu kita kalah di PRN Melaka dan Sarawak,” kata beliau.

Katanya, AMANAH dan PH menang dalam PRU 14 dahulu kerana strategi ramaikan kawan dan kurangkan musuh.

“Jika dahulu kita bermula dengan parti kecil, hasil muafakat dengan PH dan strategi kita jadi pemerintah negara,” katanya.

Suasana sekarang, katanya sudah berbeza, dimana ahli parti merasa mereka lemah selepas tiada di tampuk kuasa.

“Kegagalan kita di Melaka dan Sarawak banyak ajar kita.

“AMANAH dan PH kena berani buat perubahan,” kata beliau.

Dalam konvensyen kali ini juga, semua perwakilan dan pemimpin AMANAH menaikkan plakad anti rasuah bagi menyatakan bantahan mereka kepada gejala rasuah yang melanda negara sekarang.