Khemah Besar: Memaafkan, melupakan perkara lalu penting untuk kesepaduan politik pembangkang

Oleh NASUHA RAHMAN

Pendekatan Khemah Besar yang ditegaskan AMANAH diharapkan menjadi platform untuk semua pihak pembangkang supaya duduk berbincang.

Timbalan Presiden AMANAH Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, semua pihak hendaklah memaafkan antara satu sama lain dan melupakan perkara lalu satu tindakan penting untuk melihat kesepaduan politik pembangkang.

“Kita dalam proses berjumpa semua pihak. Ia salah satu Resolusi Port Dickson melibatkan AMANAH, DAP, PKR pada April tahun lalu.

“Semua parti setuju dengan deklarasi konsep khemah besar. Keputusan Deklarasi Port Dickson boleh direalisasikan. Jangan putus asa di tengah jalan,” kata Salahuddin.

Khemah Besar: Memaafkan, melupakan perkara lalu penting untuk kesepaduan politik pembangkang
Deklarasi Port Dickson sedia kerjasama pihak yang terima agenda PH

Sehubungan itu mengulas penggubalan Akta Antilompat Parti menurut Salahuddin ia merupakan salah satu kejayaan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH).

Ahli Parlimen Pulai itu juga berkata, MoU yang tamat 31 Julai ini juga banyak memberi manfaat kepada kestabilan negara, politik dan kesihatan rakyat.

Beliau menjelaskan, keputusan untuk tidak menyambung MoU itu adalah dari Umno, sedangkan ia ditandatangani antara PH dan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“PH percaya kita di landasan yang betul apabila menandatangani MoU dengan PM. Banyak kritikan yang menyatakan kita cuba ambil langkah ke belakang, tetapi tidak begitu.

“Keduanya, beberapa pindaan perlembagaan dapat kita buat dan tidak mungkin akan berlaku tanpa MoU.

“Contohnya, pinda perlembagaan untuk mengizinkan Undi 18, memberi peluang kepada pengundi baru, mengeluarkan Agong dan Raja Melayu daripada senarai mengundi, dan yang paling penting ialah Akta Antilompat Parti,” kata beliau dipetik Astro Awani.

Justeru, katanya MoU Kerajaan-PH itu wajar diteruskan kerana memberikan kebaikan kepada rakyat yang mahukan kelangsungan kestabilan negara pada fasa endemik COVID-19.

Baca juga: PasLeak: Label dokumen sebagai ‘sampah’, penafian Samsuri kurang meyakinkan