Khemah Besar PH strategi terbaik lumpuhkan kelompok pengkhianat, perasuah

Oleh Oleh SITI NUR ZAWANI MISCON

Konsep Khemah Besar yang diterjemahkan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini merupakan satu usaha untuk membina strategi politik yang mampu menamatkan kebiasaan budaya khianat dan tidak menghormati mandat demokrasi.

Naib Presiden AMANAH Nasional, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, Khemah Besar PH adalah strategi paling terbaik sebagai tawaran kepada rakyat untuk menyaksikan kesungguhan institusi politik mengembalikan kepercayaan rakyat yang terjejas teruk hari ini.

“Khemah Besar wujud selepas kelompok yang mengkhianati mandat sanggup menggunakan sentimen perkauman sempit dan menunggang agama demi mewajarkan pengkhianatan mereka.

“Justeru, konsep dibawa PH ini bagi memelihara kesepaduan dari dirobek melalui racun asobiyah kaum dan agama yang sempit,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Mujahid juga menegaskan, Khemah Besar PH memenuhi kehendak untuk melawan kelompok yang mempertahankan rasuah dengan berbagai dalil.

Menurutnya, konsep Khemah Besar bertujuan menghimpun semua pihak bagi mencapai makna kesatuan demi menolak nilai yang boleh meruntuhkan kesejahteraan rakyat seperti pengkhianatan (tidak menghormati janji) dan hilangnya daya mempertahankan integriti.

Tambahnya lagi, Khemah Besar PH adalah peluang membina satu konsensus Nasional bersama semua pihak yang mementingkan agenda besar negara.

“Khemah Besar PH tidak ada ruang untuk parti-parti mempertikaikan soal remeh temeh yang hanya memperlihatkan kepentingan kelompok masing-masing dan gagal melihat Konsensus Nasional yang lebih besar dan kritikal.

“Tidak ada syak lagi Khemah Besar PH adalah strategi paling terbaik sebagai tawaran kepada rakyat untuk menyaksikan kesungguhan sektor parti politik mengembalikan kepercayaan terhadap institusi politik yang terjejas teruk hari ini.

“Lebih penting kepada umat Islam ialah mereka harus yakin dan tenang bahawa Khemah Besar adalah sebahagian tuntutan dalam memenuhi prinsip umum syariah,”ujarnya.