Malaysia Dateline

‘Khemah besar tempat berteduh elak kleptokrat perintah negara’

Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar berkata, konsep khemah besar penting bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang akan datang.

Ahli Parlimen Pokok Sena tersebut berkata, pendekatan politik yang diluluskan melalui Retreat Pakatan Harapan (PH) di Port Dickson itu perlu disertai lebih banyak parti politik lagi.

Dalam masa sama, kata bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia itu, khemah yang sedia ada dengan kehadiran empat parti pada masa ini usah diruntuhkan.

“Khemah besar yang dibina ini mesti diikat kukuh, mengelak dipukul angin puting beliung dan dipastikan menjadi tempat berteduh kepada semua parti yang ada di negara kita.

“Sekarang baru ada empat parti. Khemah besar ini perlu diisi dengan sebanyak-banyaknya kumpulan parti politik yang mahu melihat perubahan kepada masa depan negara kita,” tegasnya malam ini.

Mahfuz berkata demikian dalam forum disiarkan secara langsung menerusi saluran The Perspektif hari ini.

Mahfuz dalam program bual bicara dimoderatorkan Datuk Dr Ismail Salleh.

Untuk rekod, PH pada masa ini dianggotai PKR, AMANAH, DAP dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko).

Ketetapan Port Dickson pada 9 April 2021 yang menggembleng kekuatan seluruh blok pembangkang mengambil pendirian yang terbuka untuk berunding dan bekerjasama di bawah konsep ‘Khemah Besar’ berdasarkan Agenda Reformasi dan kepentingan rakyat.

Selain empat parti komponen PH, turut kini dalam blok pembangkang adalah Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Sarawak Bersatu (PSB), Muda dan Bebas.