Malaysia Dateline

Khianat dalam SPRM, Mapim saran tubuh badan siasatan bebas

Sebuah badan bebas harus ditubuhkan bagi menyiasat khianat amanah dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) dengan segera bagi menyiasat dakwaan pegawai kanan SPRM melesapkan barang kes dan wang tunai bernilai USD 6 juta dalam simpanan SPRM baru-baru ini.

Gesaan ini dibuat oleh Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, apabila berlakunya pengkhianatan oleh pegawai tertinggi badan tersebut sudah pasti ia mencalarkan imej SPRM dan masyarakat akan hilang kepercayaan terhadap badan tersebut.

“Sekiranya SPRM tidak diyakini integritinya dalam menguruskan gejala rasuah, tidak dapat dinafikan seluruh integriti uruskelola kerajaan akan turut dipersoalkan.

” Sehubungan itu, sebuah badan siasatan khas harus ditubuhkan bagi menyiasat kes membabitkan pegawai kanan SPRM tersebut bagi memastikan wujudnya ketelusan dalam siasatan yang dijalankan.

” Harus diingati indeks persepsi rasuah Malaysia sepertimana yang dilaporkan Transparensi International, Malaysia menduduki tangga ke 57 dari 180 buah negara pada 2020 dan turun lagi dari kedudukan sebelumnya,” jelas beliau.

Malah katanya lagi, Skor Malaysia juga menunjukkan pada 2020 adalah 51 daripada 100 mengikut indeks persepsi rasuah di sektor awam berbanding 53 pada tahun 2019.

Walaupun penurunannya tidak signifikan, tegas beliau, Mapim memandang serius gejala yang semakin menunjukkan trend negatif yang dipertontonkan serta kesal usaha membanteras gejala rasuah tidak berkesudahan ekoran sikap dolak-dalik kehendak politik.

Sejajar dengan itu kata Mohd Azmi lagi, kerajaan disarankan supaya mendedahkan status Pelan Anti Rasuah Nasional 2019-2023 sepertimana yang telah diumumkan sebelum ini.

Tegasnya, kerajaan perlu membuktikan kesungguhan untuk mengimplementasikan pelan tersebut sepenuhnya.