Malaysia Dateline

Khianat lagi selepas setahun pengkhianatan

Kegembiraan kerana pergeseran Umno-Bersatu berterusan, dan perkenan Yang di-Pertuan Agong bahawa sidang Dewan Parlimen boleh diadakan semasa Darurat, agak terencat oleh kejadian lompat parti.

Pada 27 Februari lalu, tiga Adun Amanah melompat ke PKR. Sehari kemudian, dua Ahli Parlimen PKR keluar parti, dan menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Walaupun masih disyukuri kerana wakil rakyat Amanah menyertai parti komponen PH yang lain, bukan PN, tetapi timbul juga pertanyaan mengapa mereka berhijrah.

Saya fikir biarlah Umno dan Bersatu terus berbalah. Janganlah parti-parti dalam PH juga bercakaran.

Meskipun Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayob menyatakan tidak manis PKR menerima tiga wakil rakyat itu kerana mencemari kesepakatan PH, tetapi ia tetap tidak menyenangkan hati.

Bukan hanya tindakan mereka itu jelik dilihat, tetapi ia juga pahit ditelan. Janganlah seperti kata peribahasa, ‘jika tidak berada-ada, masakan tempua bersarang rendah’.

Menurut Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan, tiga Adun parti tersebut menyertai PKR untuk mencari peluang bertanding pada PRU15.

Tambah Adun Parit Yaani itu, tersebar khabar angin yang menyatakan mereka ditawarkan kerusi di beberapa kawasan di Johor. Terdapat tawaran kepada mereka untuk bertanding di kerusi atas tiket PKR.

Adun yang melompat itu ialah Ir Khairuddin A Rahim (Senggarang), Ir Dr Faizul Amri Adnan (Serom), dan Mohd Said Jonit (Mahkota).

Aminolhuda turut berpendapat PKR tidak wajar menerima tiga wakil rakyat itu demi mengekalkan semangat setiakawan dalam PH.

Penerimaan tersebut, katanya, boleh menimbulkan pelbagai persepsi sesama komponen dalam PH, dan itu harus diterima dengan jiwa yang besar oleh PKR sendiri.

Sungguhpun memang dijangka akan ada wakil rakyat PH yang tiba-tiba beralih menyokong Kerajaan PN, tetapi tidak disangka pula mereka (bukan Melayu) dari PKR.

Selepas setahun, dua ahli Parlimen tersebut membuat keputusan menyertai kem Muhyiddin dengan alasan Kerajaan PN diyakini mampu memacu negara ke arah yang lebih baik, dan demi kepentingan pengundi mereka.

Demi kepentingan pengundi? Bukankah mereka telah mengkhianati kepercayaan pengundi mereka sendiri? Mereka hanya mementingkan diri sendiri.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut membidas alasan tersebut dengan mengatakan tidak perlu ‘berhijrah’ untuk membantu rakyat. Mereka boleh terus berbakti kerana bukan kehilangan jawatan – masih sebagai wakil rakyat.

Bukan menuduh atau memfitnah, tetapi tidak mustahil jual beli ahli Parlimen sedang berlaku demi menyelamatkan PN, dan Muhyiddin.

Ramai maklum bahawa Kerajaan PN berkuasa tanpa majoriti – hanya 109 ahli Parlimen yang menyokong. Agar PN-Muhyiddin terus hidup, Darurat diisytiharkan bersama-sama penggantungan Parlimen dan Dun.

Darurat berlangsung dari 11 Januari lalu sehingga Ogos depan, ataupun ditamatkan lebih awal berdasarkan keadaan Covid-19. Dengan itu, Muhyiddin dan PN selamat setidak-tidaknya sehingga Ogos.

Walau bagaimanapun, harapan itu tergugat dengan perkenan YdPA. Justeru, helah lain dicari.

Wakil rakyat PKR itu ialah Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien, dan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon.

Sng dan Choong mengakui sokongan kepada Kerajaan PN dengan menyerahkan akuan bersumpah (SD) yang mereka tandatangani kepada Muhyiddin.

Dalam hantaran menerusi akaun Facebook rasmi beliau, Muhyiddin memberitahu SD itu diserahkan oleh Sng dan Choong kepadanya selepas sesi pemukiman anggota Jemaah Menteri bersempena dengan setahun Kerajaan PN di Putrajaya.

Muhyiddin bersyukur dan mengatakan, sokongan itu tentunya akan mengukuhkan lagi Kerajaan PN dalam usaha, dan perancangan untuk mengurus Covid-19, serta memangkin kebangkitan semula ekonomi negara.

Jadi, jelaslah Muhyiddin sendiri mengakui kerajaan pimpinannya goyang, serta gagal mengawal penularan Covid-19 dengan baik.

Kini, adakah Muhyiddin dan PN benar-benar berasa telah selamat, dan berani membuka sidang Dewan Rakyat (yang dijadualkan pada 8 Mac) nanti?

Secara mudah, pengkhianatan Sng dan Choong menambahkan jumlah sokongan kepada Muhyiddin menjadi 111.

Namun demikian, PKR mendakwa bahawa Muhyiddin masih tiada majoriti sokongan ahli Parlimen.

Dalam kenyataan media pada 28 Februari lalu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution mengatakan Muhyiddin tidak sepatutnya berusaha mengekalkan Kerajaan PN yang lemah.

Muhyiddin, tegas Saifuddin, perlu sedar bahawa majoriti ahli Parlimen tidak lagi bersama-sama dengan beliau. Saya hairan melihat Muhyiddin menyampaikan amanat seperti tanpa harga diri pada 1 Mac lalu bersempena dengan setahun pentadbiran Kerajaan PN.

Sepatutnya Muhyiddin, seperti kata Saifuddin, meletakkan jawatan secara terhormat berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

Dengan ‘penghijrahan’ Sng dan Choong, jumlah wakil rakyat PH di Parlimen kini berkurang kepada 89 orang.

Walau bagaimanapun, ini tidak termasuk sembilan ahli Parlimen Warisan dan Upko, serta empat dari Pejuang yang tidak menyokong Muhyiddin.

Dua wakil rakyat dari Parti Sarawak Bersatu dan dua ahli Parlimen Bebas (Dr Maszlee Malik dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) turut menolak Kerajaan PN.

Inilah yang dikatakan jumlah sokongan kepada Muhyiddin masih tidak jelas meskipun kerajaannya berjaya meluluskan Bajet 2021 pada Disember dengan sokongan 111 ahli Parlimen.

Tiga ahli Dewan Rakyat Umno, iaitu Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (Machang), Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang), dan Dato’ Sri Mohamed Nazri Aziz (Padang Rengas) juga mengumumkan secara rasmi tidak menyokong Muhyiddin.

Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; mantan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak; Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan, dan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dato’ Sri Tajuddin Abdul Rahman difahamkan ‘tidak mesra’ terhadap Muhyiddin walaupun masih belum menyatakan pendirian secara rasmi.

Dewan Rakyat kini mempunyai 220 anggota selepas kematian Datuk Liew Vui Keong (Batu Sapi), dan pemimpin Umno, Dato’ Hasbullah Osman (Gerik).

Menurut Saifuddin, PKR telah memecat Sng dan Choong serta-merta dalam mesyuarat bulanan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada 28 Februari juga. PKR juga, katanya, memohon maaf kepada para pengundi di Julau dan Tebrau atas sikap dua ahli Parlimen tersebut.

MPP juga membincangkan tindakan mahkamah yang telah dan akan diambil terhadap Sng dan Choong yang telah bertanding atas tiket PKR, tetapi mengkhianati mandat rakyat, dan keluar parti.

Selepas setahun khianat, pengkhianatan berlaku/dilakukan lagi. Sungguh jijik dan hina kerajaan yang memerintah Malaysia sekarang – berkuasa tanpa sokongan majoriti rakyat, tetapi atas dukungan wakil rakyat yang musibat!

Tegas Ahli Parlimen Bukit Gelugor (DAP), Ramkarpal Singh, melompat parti sangat tidak diterima bagi mana-mana sistem demokrasi kerana ia mampu menggoyangkan mana-mana kerajaan, lebih-lebih lagi kerajaan lemah seperti PN.

Ramkarpal telah menyentuh hal ini berkali-kali dan akan mengatakannya sekali lagi bahawa melompat parti mesti dihentikan, dan dilarang.

Mana-mana kerajaan hari ini yang mencadangkannya melalui pindaan Perlembagaan di Parlimen, kata Ramkarpal, pasti akan mendapat undi beliau.
Ramkarpal mengatakan alasan Sng dan Choong mengenai bantuan dana untuk kawasan mereka sangat melucukan.

Kata Ramkarpal, hanya segelintir dalam PH menjangka menjadi kerajaan selepas PRU14. Dengan kata lain, wakil-wakil ini mengharapkan kemungkinan sebenarnya berada di pembangkang setelah PRU ke-14 tanpa dana kerajaan untuk kawasan masing-masing, termasuk beliau sendiri.

Tidak pernah timbul, jelas Ramkarpal, isu dana untuk kawasan Parlimen, tetapi lebih kepada tujuan mewujudkan Malaysia yang lebih baik, iaitu bebas dari rasuah, dari politik perlindungan, dan kleptokrat.

 

*RAYUSA seorang penulis bebas yang turut menulis isu sastera dan budaya tanah air.