Khianat parti: Facebook Hasnul dibanjiri serangan

Khianat parti: Facebook Hasnul dibanjiri serangan

Ekoran keputusan ADUN Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim mengisytiharkan keluar dari parti dan memilih untuk menjadi ADUN Bebas, laman sosial rasmi Facebook Ketua Pemuda AMANAH Nasional itu diserang cercaan daripada penyokong Pakatan Harapan (PH).

Pengguna Facebook, Ammir Balqis antaranya mempersoal apa sebenarnya yang dicari oleh Exco Kerajaan Negeri Perak itu.

“Cukup-cukup kecewa dengan keputusan kamu (Hasnul). Apa yang pasti kamu menconteng arang di muka kamu sendiri. Jelas, kamu mahukan jawatan dan kedudukan,” tegasnya.

Turut memenuhi ruangan komentar dalam hantaran terakhir Hasnul tentang pendakiannya di Bukit Kledang kelmarin ialah kata sindiran kepada wakil rakyat yang pernah menangis ketika menurunkan gambarnya di pejabat Exco.

Antaranya, Nasir Abdullah Sidik berkata, “patut lepas panjat tu, terjun terus la Noi (Hasnul)” manakala Amir Nasri Nikmat meninggalkan komen, “melompat la best”.

Tidak kurang juga ungkapan makian dan carutan sekali gus menggambarkan rasa berang orang ramai dengan tindakan lompat parti itu.

Dalam masa sama poster tidak puas hati warga maya terhadap Hasnul dengan tanda pagar #nyahpengkhianat dan #notmyKP (Bukan Ketua Pemuda Saya) turut tular.