Malaysia Dateline

Khianat pengundi Cina, sokong BN halal ke haram, tanya MP AMANAH

Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin mempersoalkan mengapakah Mursyidul Am Pas Ustaz Hashim Jasin begitu mudah mengeluarkan “fatwa” menghianati janji bagi calon Pas yang keluar parti itu tetapi berdiam diri terhadap calon parti itu yang menghianati pengundi Cina dan Melayu.

Beliau merujuk kepada Malaysiakini yang memetik laporan Utusan Malaysia yang mengatakan Mursyidul Am Pas itu mendakwa Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar yang mengisytiharkan diri keluar Pas kelmarin sebagai menghianati janji atau melanggar baiah.

Ahli parlimen AMANAH itu berkata, seperti yang diduga, Musrsyidul Am bersandar pada baiah lalu dikatakanlah yang YB Pokok Sena perlu bertanggungjawab kerana didakwa khianat janji dengan Allah.

“YB Pokok Sena menjadi mangsa terbaru dituduh khianat, selepas dulu kami khususnya enam orang MP AMANAH juga didakwa sebegitu. YB Tumpat yang berhijrah ke PKR juga dihentam dengan isu yang sama.

“Beberapa orang Adun AMANAH juga dihentam sama khususnya YB Salor yang sehingga kini masih terus dihentam,” tulis beliau dalam Facebooknya.

Sehubungan itu, Hanipa mempersoalkan, sewaktu YB Pokok Sena itu masih dalam parti suci itu dan juga teruk dihentam dan diserang, mengapakah Mursyidul Am diam tidak bersuara?

“Begitu juga bila YB Marang agak kerap tidak hadir sidang Parlimen, tak dengar juga suara Mursyidul Am menegur YB Marang dan tak dengar pula “fatwa” Mursyidul Am tentang status pendapatan YB Marang.

“Takkan serangan terpilih pulak? Dalam zaman Khalifah Umar Al-Khatab selalu dijaja yang wanita rakyat biasa pun berani tegur Khalifah.

“Jika orang lain mudah sangat di “fatwa” khianat janji tapi bila para calon parti suci menang dengan sokongan pengundi muslim dan non muslim yang benci gila kat BN lalu undi calon parti suci, lalu menang pulak dan lepas menang dilihat parti suci banyak kali “mesra” dan bagi “nyawa” kepada BN, tak dengar pulak kita “fatwa” Mursyidul Am?

“Yang itu masih raba-raba lagi ke ustaz macam 1MDB jugak?

“Saya tak pasti masa YB Pokok Sena dah mula aktif dalam parti suci Mursyidul Am sudah atau belum aktif atau masih “cari makan” dengan Felda lagi masa tu?

“Maaf tak pasti. Yang saya pasti YB Pokok Sena aktif dalam parti suci ketika parti suci tengah susah dan pernah di ISA dan masuk penjara sebulan menentang kehadiran pasukan kriket Israel ke Malaysia,” kata beliau.