Khianat rakyat: Lokman Adam gesa Umno ambil tindakan ke atas Hishamuddin

Khianat rakyat: Lokman Adam gesa Umno ambil tindakan ke atas Hishamuddin
(kiri) Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan (kanan) Datuk Lokman Noor Adam.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Lokman Noor Adam hari ini mendesak Lembaga Disiplin Umno untuk mengambil tindakan ke atas Datuk Seri Hishamuddin Hussin kerana dakwanya mengkhianati rakyat Malaysia terutamanya kepada pengundi Tanjung Piai.

Bekas Naib Presiden Umno itu didakwa menjadi ‘orang tengah’ mengatur pertemuan sekumpulan pemimpin dikalangan Ahli Parlimen BN ke kediaman rasmi Menteri Ekonomi Datuk Seri Mohamad Azmin Ali malam tadi.

Lokman dalam kenyataannya hari ini mendakwa Ahli Parlimen Semberong itu sebelum ini menafikan pembabitannya dalam menjadi orang tengah antara Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membawa masuk pimpinan dan MP Umno ke dalam parti Bersatu.

“Beliau (Hishamuddin) kerap memberi alasan beliau mengepung MP-MP BN bagi mengelakkan mereka menyertai Bersatu.

“Walaupun bukan semua 22 ahli Parlimen ini menyokong Mahathir, tidakkah beliau sedar betapa kecewanya ribuan jentera BN dan PAS yang berkerja keras di Tanjung Piai apabila beliau melakukan pengkhianatan ini

“Namun hari ini (malam tadi), apa pula alasan yang mahu beliau berikan apabila beliau membawa 22 orang MP BN kerumah Menteri semburit Azmin Ali di Presint 8, Putrajaya?,” soalnya dalam kenyataan.

Lokman berkata pada 30hb Oktober 2019 lepas, beliau telah membuat laporan kepada Lembaga Disiplin Parti dan Presiden Umno terhadap penglibatan Hishammuddin dalam menghasut pimpinan dan MP Umno untuk menyertai Bersatu.

Beliau telah menggesa agar siasatan segera dijalankan dan tindakan disiplin diambil kepada mereka yang mempengaruhi pimpinan dan MP Umno untuk menyokong kepimpinan Mahathir, mahupun Azmin.

“Tindakan Hisham bertentangan dengan keputusan MT Umno yang sudahpun memutuskan tiada kerjasama akan dijalankan dengan mana-mana parti dalam Pakatan Harapan.

“Saya berharap tiada pihak mempertahankan pengkhianatan yang dilakukann oleh Hishammuddin ini. Parti perlu mengambil tindakan tegas,” ujarnya.

Memetik laporan media, berlaku satu pertemuan dipercayai antara pimpinan BN yang terdiri daripada 22 orang Ahli Parlimen Umno di kediaman rasmi Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR itu di Putrajaya malam tadi.

Antara Ahli Parlimen Umno yang dilaporkan hadir adalah Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar), Abdul Rahman Mohamad (Lipis), Ismail Abd Muttalib (Maran) dan Ramli Md Noor (Cameron Highland).

Ahli PKR yang turut kelihatan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin (Adun Ampang) dan Timbalan Menteri Pengangkutan Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak).

Perjumpaan itu bermula pada sekitar pukul 9.30 malam dan berlangsung selama dua jam.