Khidmat Cambridge Analytica diguna untuk intip rakyat Malaysia?

Khidmat Cambridge Analytica diguna untuk intip rakyat Malaysia?

Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) berkata, pendedahan British Channel 4 News berhubung Malaysia menggunakan khidmat firma Cambridge Analytica (CA) untuk memenangi pilihan raya sangat mengejutkan, bukan sahaja rakyat Malaysia tetapi masyarakat dunia.

Presidennya, BG (B) Datuk Mohamed Arshad Raji berkata, dalam pendedahan Channel 4 News itu, pegawai-pegawai CA dilaporkan dengan megahnya mendakwa bahawa mereka boleh memeras ugut ahli politik, menghantar perempuan untuk memerangkap mereka dan mencipta propaganda untuk membantu pelangan mereka.

“Dan Malaysia, dakwa pegawai CA itu, telah menggunakan perkhidmatan mereka,” kata Mohamad Arshad dalam kenyataan medianya hari ini.

Ujarnya, dalam hari yang sama pendedahan itu dibuat, saham Facebook Inc. jatuh teruk dalam pasaran ekuiti Amerika Syarikat (AS).

“Di AS dan di Eropah, CA telah dituduh ‘mengorek’ (mendapatkan) data daripada Facebook membabitkan berjuta pengguna jalinan sosial tanpa kebenaran mereka.

Hal itu kata Mohamed Arshad, telah menimbulkan keributan di AS dan negara-negara Eropah tetapi malangnya di Malaysia keadaan masih seperti biasa, tanpa memberikan apa-apa kesan.

Kata beliau, kita perlu melihat dan meneliti Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 yang berkuatkuasa pada November 2013 itu.

“Mendapatkan data peribadi rakyat Malaysia, sama ada untuk tujuan perniagaan atau politik, jelas bertentangan dengan prinsip Perlindungan Data Peribadi dan melanggar Akta tersebut.

“Seterusnya, Akta berkenaan terpakai kepada rakyat Malaysia dan juga warga asing,” kata beliau.

Menurutnya, CA dilaporkan mempunyai pejabat yang berdaftar di Malaysia.

Jelas beliau, Patriot terdiri daripada pegawai-pegawai tentera dan polis yang telah bersara dan ramai daripada kalangan mereka dulunya berkhidmat sebagai perisik tentera dan Cawangan Khas polis.

“Kami pakar dalam operasi psikologi dan perang psikologi, dan mempunyai pengetahuan mengenai kerja-kerja dalam operasi sulit.

“Terdapat had undang-undang dan juga etika untuk kerja-kerja sedemikian jika mengorek data untuk digunakan dibuat pada waktu aman dan bertentangan dengan rakyat Malaysia sendiri,” tambah beliau.

Katanya, aktiviti haram sperti ini yang dikendalikan oleh syarikat asing boleh disifatkan sebagai mengintip, malah sebagai khianat dan ia perlu dikutuk.

Sehubungan itu kata beliau, Patriot meminta Menteri Dalam Negeri membuat penjelasan mengenai pendedahan itu.

“Pengintipan merupakan kesalahan yang sangat besar,” kata beliau lagi.

9.8
OVERALL SCORE
: 9.0
3 user votes x 10.0
CATEGORIES
TAGS