KHM berperanan bantu kerajaan sebarkan dasar di Sarawak

KHM berperanan bantu  kerajaan sebarkan  dasar di Sarawak

Badan bukan kerajaan (NGO) Komuniti Harapan Malaysia (KHM) berupaya membantu Kerajaan Persekutuan dalam menyebarkan dasar, pencapaian dan polisi kepada masyarakat setempat dari masa ke semasa.

Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii berkata, KHM yang ditubuhkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen)adalah sebagai rakan strategik bagi memasarkan maklumat dan dasar kerajaan kepada seluruh rakyat di negara ini khususnya di Sarawak.

Bagaimanapun, katanya, maklumat yang hendak disebarkan haruslah benar dan sahih agar masyarakat tidak terkeliru sekali gus mencetuskan suasana panik di kalangan masyarakat.

“KHM haruslah menjadi ‘communicator’ yang efektif dengan menggunakan pelbagai medium komunikasi terkini seperti media sosial.

“Sebagai contoh ialah bagi membantu menyebarkan maklumat terkini berkaitan wabak koronavirus kepada orang awam dalam usaha membendung wabak berkenaan terus merebak,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program ‘Gong Xi Fa [email protected] anjuran Jabatan Penerangan Malaysia, Sarawak di Kuching malam tadi.

Program tersebut adalah anjuran bersama KHM Kota Sentosa yang turut dihadiri Pegawai Tugas-Tugas Khas Kementerian Komunikasi dan Multimedia(KKMM), Dr Dusit Jaul, Pegawai Penerangan Daerah Kuching, Magdellina Alfred Jeho dan Pengerusi KHM Kota Sentosa, Ting Kee Kai.

Terdahulu, Pengarah Penerangan Negeri Sarawak, Swady  Guliling dalam ucapannya berkata, pihaknya kini sedang giat mengadakan program‘Info on Wheels (IOW) yang melibatkan hebahan maklumat melalui unit bergerak di seluruh negeri.

Ujar beliau, selain menyebarkan risalah berkaitan wabak koronavirus, pegawai yang turun ke lapangan semasa program tersebut juga akan menyampaikan maklumat berkaitan inisiatif-inisiatif kerajaan seperti e-Tunai rakyat, i-Suri, MySalam dan Peka B40.

“Ini adalah bertujuan bagi memastikan rakyat mengetahui langkah-langkah untuk mendapatkan faedah melalui inisiatif-inisiatif yang ditawarkan kerajaan,” tambahnya.