Malaysia Dateline

KHM Jemoreng rangka program sepanjang 2020

Komuniti Harapan Malaysia (KHM) di bawah Kementerian Penerangan Malaysia bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Jemoreng, Sarawak akan merangka pelbagai program bermula pada tahun hadapan.

Menurut Pengerusinya Ajiji Fauzan,antara program yang bakal dilaksanakan nanti ialah aktiviti kemasyarakatan, ekonomi, keagamaan, kebudayaan dan termasuk sukan.

Katanya, KHM akan bekerjasama dengan Kementerian Penerangan Malaysia dalam menjayakan program dan aktiviti yang akan dilaksanakan itu nanti.

“Kami telah merancang perbagai program dan aktiviti bagi pengisian kalendar sepanjang tahun 2020.

“Antaranya aktiviti kemasyarakatan,ekonomi,keagamaan,kebudayaan dan sukan, ” jelas beliau selepas mengadakan mesyuarat bersama Ahli Jawatankuasa KHM di Pejabat Penerangan Matu, Sibu pada Ahad.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Cawangan AMANAH Dun Jemoreng menambah, kewujudan KHM di kawasan ini akan membantu dalam melaksanakan aktiviti di samping sebagai platform untuk memberi penerangan mengenai inisiatif di sediakan Kerajaan Persekutuan.

Jelas beliau, setakat ini ahli jawatankuasa AMANAH Cawangan Jemoreng telahpun mengadakan beberapa program dan taklimat kepada seluruh penduduk berkaitan bantuan yang disediakan oleh kerajaan pusat seperti Peka B40,Mysalam dan lain-lain.

“Dengan adanya KHM, kita akan bekerjasama dengan pegawai -pegawai dari Jabatan Penerangan untuk mendekati penduduk dengan menganjurkan perbagai program kemasyarakatan.

“Secara tidak langsung, kita akan memberikan penerangan kepada mereka (penduduk) berkaitan inisiatif Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam membantu masyarakat pribumi di Sarawak, ” kata Ajiji.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Pegawai Jabatan Penerangan Matu merangkap Penasihat KHM Dun Jemoreng Zaini Morsidi.