Khusus buat penggemar rasa pedas, kafe jual kopi latte bersama hirisan cili – “Laku 300 cawan sehari!”

Oleh WAN SITI AMINAH

Sebuah kedai kopi telah berjaya mencuri tumpuan ramai selepas memperkenalkan menu baharu khusus untuk pelanggan yang menggemari rasa pedas.

Percaya atau tidak, premis berkenaan menghidangkan kopi ais jenis latte pedas itu kepada pelanggan dengan beberapa hirisan cili kering dan juga taburan serbuk lada.

Menu minuman baharu yang dilancarkan pada Disember, tahun lalu itu difahamkan berjaya memikat selera pelanggan sehingga berhasil dijual sekitar 300 cawan sehari.

Walaupun kedengaran aneh, namun minuman baharu yang mula meraih populariti ini dijangka kekal di dalam menu kafe terletak di Gangzhou, wilayah Jiangxi, China itu.

Difahamkan, menu yang dipanggil Jiangxi Spicy Latte itu ditawarkan di kafe tersebut dengan harga 20 yuan ataupun RM13.36 secawan, lapor South China Morning Post.

Mengundang perbincangan hangat, satu rakaman yang memaparkan pekerja kafe ketika meletakkan hirisan cili kering dan serbuk lada di dalam kopi turut tular di media sosial.

Rata-rata pengguna media sosial merasa ‘seram’ untuk mencuba Jiangxi Spicy Latte kerana khuatir minuman itu terlalu pedas lalu menyebabkan kesakitan kepada perut.

Salah seorang pekerja kafe bagaimanapun mengesahkan bahawa rasa kopi tersebut sebenarnya biasa-biasa sahaja dan tahap kepedasannya juga tidaklah terlalu kuat.

“Menu yang kreatif. Tetapi saya tidak berani untuk mencubanya kerana takut ia boleh menyebabkan kesakitan kepada perut saya,” kongsi seorang pengguna yang khuatir.

“Menu kopi latte pedas baharu itu tidaklah teruk sangat. Rasanya agak sedikit pedas tetapi masih manis seperti latte.” Kata pelanggan yang pernah mencuba menu itu.

Baca juga: Pelanggan terkejut restoran di pusat peranginan Johor caj RM15.90 untuk secawan milo panas