Malaysia Dateline

Kibaran talian hayat dianggap tindakan melanggar saluran

Suatu perkara yang menarik untuk diperhatikan dalam inisiatif kibaran bendera putih ialah situasi rakyat meminta bantuan kerana kebuntuan mendapat bekalan makanan disebabkan oleh kehilangan pekerjaan atau mata pencarian telah diterima maklum balas oleh sang politikus yang berkuasa dengan nada negatif.

Keganjilan di sini ialah segala norma dan kebenaran yang dipercayai sebagai sesuatu yang mutlak, universal dan abadi sudah dianggap kesalahan. Rakyat yang minta pertolongan secara tulus melalui kibaran bendera putih dianggap sebagai tidak jujur dan tidak ikhlas dan bermotif propaganda politik.

Bayangkan jika seseorang yang sedang lemas di laut, adakah dia akan berdiam dirinya sedangkan terdapat mereka di sekelilingnya yang masih boleh membantu menyelamatkan dirinya?

Orang yang lemas itu menyebut nama Tuhan kerana akan tenggelam dan pada masa berteriak meminta tolong.

Adakah demi untuk menjaga maruah dia tidak meminta bantuan dan membiarkan diri lemas di dalam lautan atau beliau adalah ahli parti lawan dan teriakan meminta bantuan daripada lemas sebagai suatu strategi politik?

Cuba fikirkan bagaimana hendak kita rasionalkan maklum balas seperti ini, rakyat meminta bantuan sebagai kibaran talian hayat telah dianggap sebagai tindakan melanggar saluran kerana mereka perlu meminta bantuan melalui kerajaan dan bukan mengibar bendera.

Sang politikus meragui keikhlasan mereka dan dianggap bertujuan memburukkan imej kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Kepelikan ini dilihat dalam situasi yang berlaku di Terengganu apabila Raja Bahrin Shah menyebut dalam artikelnya bahawa mereka yang menaikkan bendera putih dimarahi serta ada diugut tidak diberi bantuan kerajaan jika berbuat demikian.

Ada yang mengakui terpaksa menurunkan bendera dan menghubungi NGO dan pihak lain cara senyap. Untuk mengelak ketidakselesaan dan ‘keselamatan tekanan’ atas penerima, AMANAH mencadangkan gambar pemberian bantuan tidak diambil atau disebarkan.

Terdapat kecenderungan di sini bahawa meminta bantuan harus melalui saluran tertentu dan norma dan kebenaran meminta bantuan adalah atas pertimbangan politik bukannya daripada pertimbangan kemanusiaan walaupun ini adalah isu talian hayat sekalipun.

Daripada isu kibaran bendera putih ini dapat ditanggapi bahawa isu kemanusiaan di negara ini dalam waktu Covid-19 dibatasi oleh dua faktor asas, perkiraan politik amat penting bagi sebarang bantuan talian hayat dan pergerakan meminta bantuan harus dalam lingkungan politik.

Dalam berita Malaysia Dateline, 1 Julai lalu ada disebutkan bahawa kempen yang mulanya dicetuskan aktivis masyarakat, Nik Jah yang juga Timbalan Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Kelantan itu juga sebagai memberi isyarat kepada orang lain untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan bantuan segera.

Adakah ini yang dimaksudkan sebagai propaganda politik? Adakah ini dirumuskan sebagai isu kemanusiaan yang harus melalui talian hayat politik? Nampaknya, satu kenyataan lebih terperinci diperlukan supaya rakyat dapat mengetahui bahawa kibaran bendera putih adalah bermotif politik.

Suatu pendedahan mengenai sumber propaganda iaitu dari pihak mana, parti pembangkang atau gerakan rakyat yang cenderung kepada parti pembangkang atau juga kumpulan parti pembangkang. Adalah sewajarnya menubuhkan pasukan penyiasat mencari jawapan kepada kenyataan beliau itu.

Kenyataan-kenyataan seperti ini memperlihat corak pentadbiran demokrasi autoritarian. Apa yang dimaksudkan di sini, demokrasi adalah simbol tetapi dalam paktisnya harus mengikut sang pemerintah kerana merekalah yang berhak membuat keputusan walaupun dengan kibaran bendara putih.

Mereka tidak boleh memandang sebarang isu rakyat tidak memihak kepada mereka dan lebih trauma jika pembangkang atau pihak yang cenderung kepada pembangkang membantu.

Dalam hubungan ini, Ustaz Azhar dengan jelas menjawab hukumnya harus dan tidak ada salahnya menaikkan bendera putih untuk meminta bantuan dalam keadaan memerlukan pertolongan.

Jawapan tersebut sangat jauh berbeza dari kenyataan pendirian Menteri Besar Kedah dan MP dari Kelantan dan juga Terengganu. Oleh itu, siapakah yang terasa kebimbangan politik sekarang?

*Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran Universiti Selangor (Unisel).