Malaysia Dateline

Kilang arak dibenarkan beroperasi: ARMADA tuntut penjelasan

Armada Bersatu mendesak kerajaan untuk menjelaskan keputusan kerajaan membenarkan kilang arak Heineken beroperasi sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam satu kenyataan bersama, Armada mempersoalkan sekiranya arak dan minuman keras yang jelas haram itu dikategorikan sebagai keperluan kritikal.

Sedangkan menurutnya, garis panduan yang dikemukakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) hanya menyenaraikan 10 perkhidmatan penting dengan sektor kritikal sahaja yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP ini.

“Ribuan perniagaan halal dan milik Bumiputera terjejas akibat Covid-19 dan PKP terutamanya bagi industri Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

“Mengapa pengecualian khas diberikan kepada kilang arak Heineken ini sedangkan terang-terangan perniagaan mereka adalah haram?

“Adakah kilang ini mempunyai kaitan dengan orang berkepentingan?,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut dibuat bersama antara Ketua Penerangan ARMADA Nasional, Ulya Agamah dan Exco Agama Armada Nasional, Abu Hafiz Salleh Hudin.

Dalam pada itu, Armada menegaskan dan menuntut penjelasan segera diberikan.

Jelasnya, adalah tidak molek untuk kerajaan “Melayu-Islam” memberi kelebihan kepada syarikat yang menjual produk yang jelas haram disisi Islam.

Semalam, satu surat daripada Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bertarikh 31 Mac tular memaklumkan pengesahan pengecualian bagi operasi Heineken Malaysia Berhad.

Heineken Malaysia Berhad yang mula ditubuhkan pada 1964 adalah pengeluar utama bir dan stout di negara ini dan telah disenaraikan dalam Bursa Malaysia setahun selepas penubuhannya.

Antara jenama dihasikan Heineken adalah Tiger Beer, Guinness, Heineken, Anchor Smooth, Anchor Strong, Kilkenny, Anglia Shandy, Malta, Paulaner, Strongbow, dan Soll.