Malaysia Dateline

Datuk A Kadir Jasin

Kilang arak: Kenapa Ismail kacau kerja Azmin, bercelaru, kata tokoh media

Tindakan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri mengarahkan agar kilang arak ditutup semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dipertikaikan kerana ia sepatutnya di bawah bidang kuasa Menteri Kanan Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Tokoh media, Datuk A Kadir Jasin berkata dengan penuh sindiran, tindakan ini akan menimbulkan kekecelaruan dalam pentadbiran kerajaan.

“Apakah kerja Menteri Kanan Pertahanan arah kilang arak tutup? Bukankah ini bidang kuasa Menteri MITI? Bercelaru!” tulis bekas penasihat media perdana menteri itu.

Sebelum ini, media didedahkan tentang surat kelulusan yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bahawa kilang arak Carsberg boleh beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan Penuh (Total lockdown).

Arahan itu kemudiannya disahkan sebagai ‘sah’ oleh pegawai MITI kerana industri pembekalan minuman boleh diteruskan dalam total lockdown.

Namun selepas itu, Ismail Sabri mengumumkan kilang arak tidak boleh beroperasi semasa perintah PKP penuh sekarang.

Semalam Ismail menimbulkan perbahasan hangat di kalangan pengguna media sosial apabila memuat naik satu status bertulis, “Saya sudah tutup pintu depan tapi……” dengan imoji sedih.

Ramai netizen menulis, tulisan Ismail itu ditujukan kepada Azmin.

Portal Free Malaysia Today (FMT) pula melaporkan berlaku pertengkaran di kalangan menteri dalam satu mesyuarat berkaitan dengan kebenaran beroperasi semasa PKP penuh.