Malaysia Dateline

Kilang baldi plastik, mainan pun dibuka, MITI dianggap tak simpati dengan barisan hadapan

Orang ramai meluahkan rasa tidak puas hati apabila banyak kilang yang tidak berkaitan dengan perkhidmatan perlu (essential services) dibenarkan beroperasi sepanjang sekatan pergerakan penuh (total lockdown) bermula hari ini.

Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) hingga 14 Jun ini dianggap gagal mengawal penularan Covid-19 sekali gus dijangka akan terus membebankan petugas barisan hadapan yang diakui Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebagai sudah penat.

Laman Facebook Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dengan hantaran berserta gambar ventilator (atas) yang mengaitkan sejumlah sektor pembuatan dilihat dibanjiri kecaman orang ramai.

Rata-rata mempersoal kewajaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) membenarkan begitu banyak kilang yang tidak berkaitan dengan perkhidmatan perlu ketika terbukti statistik Kementerian Kesihatan (KKM) membuktikan kluster tempat kerja merekodkan jumlah tertinggi jangkitan Covid-19.

Pengguna Facebook, Mohamad Rahimi antaranya, mempersoal kewajaran operasi kilang membuat baldi plastik ketika kes aktif Covid-19 terus bertambah dengan hampir 80,000 kes setakat semalam.

“Lawak betul. Contohnya, kilang buat baldi plastik boleh beroperasi sebab hospital guna baldi plastik.

“Kalau tak beroperasi nanti hospital tiada baldi plastik. Apa punya MITI la,” katanya.

Sementara itu, Norliana Rahmat pula mendedahkan bagaimana kilang membuat peralatan mainan juga dibuka ketika jumlah pesakit yang mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) semalam sudah mencecah 851 kes dengan 422 pesakit memerlukan bantuan alat pernafasan.

“Sama dengan tempat kerja suami saya. Terkejut dia buka… buat mainan pulak tu. Tiada kaitan langsung dengan keperluan,” kongsinya di ruangan komentar Facebook Azmin yang juga Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) itu.

Hal sama juga dibangkitkan Muhd Azimi apabila menulis, “Saya (kerja) kilang buat skru, operasi macam biasa. Mungkin nak skru kepala kayangan yang longgar kot,” sindirnya.

Menyusahkan 

Sehubungan kelonggaran untuk pelbagai kilang beroperasi itu, orang ramai berpendapat pihak MITI tidak membantu malah mensabotaj usaha KKM dalam mengekang rantaian jangkitan Covid-19 yang kini telah mengorbankan sebanyak 2,796 orang.

“MITI menyusahkan barisan hadapan. Lebih baik tak payah buat lockdown,” tempelak Ahmad Fadzil Janudin.

Bagi Fizul Pwc pula, dia menyifatkan MITI harus bertanggungjawab sekiranya kes jangkitan Covid-19 berkaitan kilang meningkat dalam tempoh PKP 3.0 ini.

“Tidak simpati langsung kepada golongan barisan hadapan. Kalau kes naik bukan kamu semua yang letih. Barisan hadapan juga yag kena hadap,” luahnya kecewa.

Turut berkongsikan rasa terkilan dan tidak puas hati ialah Syurahbil Hasanah yang merayu pihak MITI agar memahami kepentingan menyekat operasi kilang yang tidak berkaitan dengan keperluan perubatan.

“Undang-undang apa banyak kilang yang buka. Rakyat nak betul-betul lockdown sekarang. Kalau banyak sektor yang buka, buat apa nak buat lockdown. Tolonglah (MITI) faham,” ujarnya.

Sementara itu, Haryati Abdullah menambah paling tidak masuk akal apabila kilang berkaitan pemasangan komponen komputer dan telefon bimbit juga dibenarkan beroperasi.

“Ikut syarat nombor lapan tu, kilang elektronik dan elektrikal. Memang tauke kilang ni pasti ambil kesempatan,” katanya.

Kapasiti 60 peratus 

MITI sebelum ini mengumumkan 18 sektor pembuatan dan perkhidmatannya yang berkaitan (MRS) yang dibenarkan untuk beroperasi sepanjang pelaksanaan sekatan perjalanan penuh di seluruh negara hingga 14 Jun ini.

MITI dalam kenyaaan 30 Mei lalu, berkata sektor yang dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 60 peratus pekerja adalah aeroangkasa (komponen serta penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih – MRO); makanan dan minuman; bahan pembungkusan dan percetakan serta barang-barang penjagaan diri dan bahan pencuci.

Turut tersenarai ialah bagi keluaran penjagaan kesihatan dan perubatan termasuk penokok diet; peralatan perlindungan diri (PPE) termasuk sarung tangan getah dan peralatan keselamatan kebakaran; komponen bagi peranti perubatan; elektrikal dan elektronik serta minyak dan gas termasuk petrokimia dan produk petrokimia juga mendapat kebenaran yang sama.

Turut dibenarkan adalah produk kimia; mesin dan peralatan; tekstil untuk pengeluaran PPE sahaja; serta pengeluaran, penyulingan, penyimpanan, pembekalan dan pengagihan bahan api dan pelincir, manakala lima lagi sektor dibenarkan beroperasi di bawah siap siaga dengan 10 peratus pekerja iaitu automotif (kenderaan dan komponen); besi dan keluli, simen; gelas serta seramik.

“Sektor pembuatan dan MRS yang dibenarkan beroperasi akan memastikan gangguan minima kepada rantaian bekalan komponen dan produk siap kritikal.

“Ini adalah penting bagi menjamin kelangsungan operasi infrastruktur kritikal seperti keselamatan, kesihatan awam dan sistem informasi dan telekomunikasi serta memastikan bekalan keperluan asas mencukupi untuk rakyat,” kata MITI dalam kenyataan itu lagi.