Kilang Iljin di Kuching mulakan pengeluaran kerajang tembaga pada Q1 2019

Kilang Iljin di Kuching mulakan pengeluaran kerajang tembaga pada Q1 2019

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yakin pengeluaran kerajang tembaga oleh pelabur Korea Selatan di Taman Teknologi Tinggi Sama Jaya akan bermula pada suku pertama tahun ini seperti dijadualkan.

Beliau berkata  Sarawak berbangga dapat bekerjasama dengan Iljin Materials Co Ltd, pengeluar kerajang tembaga terkemuka dunia iaitu kerajang tembaga nipis bagi pengeluaran papan litar bercetak.

“Tidak lama lagi kita akan mempunyai kerajang tembaga dalam telefon pintar seperti Samsung, dan kenderaan elektrik seperti BMW, GM, Jaguar, Volkswagen, Mercedes Benz dan Porsche yang dihasilkan di  Kuching,” katanya semasa merasmikan pembukaan kilang Iljin Materials Malaysia Sdn Bhd di  Taman Teknologi Tinggi Sama Jaya di sini hari ini.

Kilang Iljin Materials merancang mengeluarkan 10,000 tan kerajang tembaga di kilangnya di Kuching.

Abang Johari berkata beliau dimaklumkan Iljin telah memulakan kerja-kerja pemasangan cerucuk sejak 14 Jan tahun lepas dan fasa satu projek bernilai RM400 juta telah siap dalam tempoh 12 bulan.

Sambil berterima kasih kepada IIjin kerana memilih Sarawak sebagai lokasi pelaburannya yang pertama di luar negara, Abang Johari berkata ia membuktikan kedudukan negeri itu sebagai destinasi pelaburan pilihan berbanding lokasi lain di Malaysia dan rantau ini.

Mengenai Taman Teknologi Tinggi Sama Jaya, beliau berkata sehingga kini taman tersebut menghasilkan manfaat sosio ekonomi yang besar kepada Sarawak.

Pada 2018, jumlah eksport daripada taman itu meningkat 43 peratus kepada RM4.6 bilion berbanding RM3.2 bilion pada 2017.

“Selain itu, ia menghasilkan 11,800 peluang pekerjaan dengan 98.9 peratus adalah penduduk tempatan dan hampir 10 peratus daripadanya merupakan jurutera,” katanya memaklumkan beliau gembira kerana syarikat multinasional itu begitu komited mengambil warga Sarawak untuk bekerja.

Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang juga Menteri Perindustrian dan Pembangunan Usahawan; bekas Perdana Menteri Korea Selatan Kim Kwang Sik dan Pengerusi Kumplan Iljin Huh Chin Kyu.

— BERNAMA