Malaysia Dateline

Kimanis berpotensi jadi pusat pengumpulan industri sarang burung walit

Kimanis berpotensi untuk dibangunkan sebagai pusat pengumpulan industri sarang burung walit bagi pantai barat negeri Sabah, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri Datuk Junz Wong.

Menurut maklumat diterima beliau Kimanis juga terkenal kerana terdapat banyak pengusaha rumah sarang burung walit.

“Di Kimanis ini saya diberitahu terdapat beratus rumah burung walit di sini, di Kimanis ini memang sesuai dibangunkan sebagai pusat pengumpulan industri untuk burung walit ini,” katanya kepada pemberita selepas  lawatan kerja serta taklimat bersama komuniti nelayan di Kampung Binsuluk, Membakut dekat sini, hari ini.

Dalam pada itu, Wong berkata Kerajaan Negeri Sabah ada menyediakan bantuan membina 150 rumah sarang burung walit percuma kepada individu yang layak memohon.

Justeru, beliau menggalakkan penduduk di sini mengusahakan kegiatan ini kerana mampu memberikan keuntungan kepada mereka.

“Dulu selepas tuai, sarang burung walit dijual ke Semenanjung Malaysia, untung misalnya hanya RM3,000 sahaja, sedang jika diproses sendiri serta eksport ke negara lain boleh untung sehingga RM12,000,” katanya

Menurutnya kementeriannya turut menyediakan beberapa skim lain berkaitan pengusaha rumah burung walit dalam kalangan penduduk kampung termasuk kerjasama dengan Agrobank.

Antara lain dalam taklimat itu, Wong berkata pihaknya sedang berusaha membangunkan sebuah jeti bersepadu di Binsuluk.

“Jeti ini memboleh nelayan menaikkan hasil tangkapan ikan sekali gus menjual secara langsung kepada penduduk tanpa perlu bantuan menjual orang tengah,” katanya.

Di samping itu, beliau menasihatkan penduduk kampung, belia atau siswazah yang berminat dan layak mengurus sektor perikanan darat akan diberi tanah tol di pesisiran pantai yang tidak digunakan agar dimajukan dengan penternakan ikan.

Wong berkata rakyat perlu merebut peluang yang disediakan kerajaan dalam membantu meningkatkan produktiviti dan pendapatan.

— BERNAMA