Malaysia Dateline

Kini masa terbaik hentikan judi di Genting Highland, desak Pas Pahang

Pas Pahang menyifatkan kini adalah masa terbaik untuk kerajaan yang ada membuang terus aktiviti arak dan judi di negara ini bermula dari Genting Highland yang terletak di negeri itu.

Timbalan Pesuruhjaya II Pas Pahang, Haji Md Jusoh Darus (gambar)  dalam tulisannya di Harakahdaily, lidah rasmi Pas berkata, Genting Highlands yang masyhur terkenal sebagai Pusat Peranginan dan Perjudian seumpama Macau dan Las Vegas sebenarnya ‘cancer’ buat negara ini.

“Dari puncak tertinggi yang amat nyaman lagi indah ini hakikatnya turun laju ke lembah luas segala lahar teramat panas rantaian maksiat dan jenayah,” tulis beliau.

“Kini adalah masa terbaik untuk kerajaan melakukan ‘reset’ kehidupan rakyat dan menagih keredhaan Allah S.W.T buat negara ini dengan menghenti dan membuang terus aktiviti arak dan judi.

“Ia mesti bermula dari Genting Highlands kerana selama ini menjadi simbol kemegahan dan sarang pusat kepada maksiat,” kata beliau dalam tulisan itu.

Bagi beliau, kerajaan persekutuan yang disertai Pas mempunyai kuasa untuk melaksanakan perkara itu.

“Membanteras dari titik penyakitnya adalah dorongan dan political will untuk kerajaan melangkah bagi menghapuskan industri noda dosa ini dari terus beroperasi di seluruh negara.

“Kerajaan Negeri Pahang dan Kerajaan Persekutuan masing-masing mempunyai punca kuasa sendiri,” kata beliau.

Bagi belaiu, dengan peruntukan perundangan yang ada, kerajaan negeri dapat menyekat dengan tidak lagi mengeluarkan lesen premis.

“Manakala kekuatan kuasa Kerajaan Pusat adalah tidak melanjutkan permit operasi. Dengan itu, menutup kegiatan arak dan judi di Genting Highlands bukan ‘misi mustahil’,” katanya.

Ya benar, mungkin selama ini dari industri tersebut menjadi sebahagian pendapatan ke akaun kerajaan. Mungkin rambang mata dapat ‘mengutip’ wang tunai dalam jumlah yang banyak dengan sebegitu kerap. Tetapi mengakulah, poket negara ini bocor membiayai akibat buruk dari arak dan judi.

Tidak mungkin dengan kewarasan dikurniakan Allah ini dibiarkan lagi segala kebejatan dan kesengsaraan terus saling bergelumang mengganggu kebahagian hidup yang dicari di dunia ini. Kemusnahan diakibatkan oleh judi dan arak sudah menjadi bicara yang lumat tidak perlu diwacana forumkan lagi.

Bagi mengajak kerajaan dan penyokong PAS, bersihkan dan manfaatkan Genting Highlands dengan memasyhurkannya menjadi pusat peranginan dan pelancongan tempatan seperti Cameron Highlands dan global yang mesra untuk semua.

“Mari jana pendapatan yang terjamin halal dan lebih banyak melimpah ruah dari hasil kotor dan haram selama ini,” tulis beliau.

Pas yang mempunyai 18 ahli parlimen adalah kerajaan bersama dalam kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub.

Naib Presiden Pas, Idris Ahmad adalah menteri agama manakala timbalannya Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man adalah menteri alam sekitar manakala setiausaha agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan adalah menteri tenaga dan sumber asli.