Malaysia Dateline

Kini pelajar pula persoal mana 150, 000 laptop percuma yang dijanjikan

Status 150 ribu laptop percuma yang dijanjikan kerajaan semasa membentangkan Belanjawan 2021 pada pada 6 November 2020 kini menjadi persoalan dari pelbagai pihakinya khasnya para pelajar.

Ini kerana, semasa pembentangan Belanjawan 2021 Menteri Kewangan Tengku Zarul Abdul Aziz telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM150 juta untuk pembelian 150,000 komputer riba yang akan diberikan secara percuma kepada seluruh pelajar di 500 buah sekolah seluruh negara.

“Walaubagaimanapun, sehingga ke saat ini, tiada sebarang makluman tentang proses penyerahan serta perkara-perkara asas bagaimana komputer riba ini dapat diperolehi,” kata Firzan Hakimi (gambar), Naib Presiden Mahasiswa Keadilan Malaysia.

Bagi beliau, ianya kelihatan lebih malang apabila perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 telah berlaku, namun masalah yang dihadapi oleh pelajar-pelajar sekolah dan mahasiswa masih tidak berubah iaitu kekangan terhadap proses pembelajaran secara atas talian dan kemungkinan yang lebih besar ianya akan berlanjutan.

“Pelajar dan rakyat kebanyakan mempunyai hak untuk mengambil maklum tentang proses pengagihan serta apakah kriteria-kriteria yang diperlukan sebagai penerima,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan Malaysia pernah mencipta pemuka pada laman sesawang kementerian yang bertujuan masyarakat mengetahui secara terperinci bagaimana projek sekolah daif dijalankan.

Sehubungan itu, beliau meminta Dr Radzi Jidin, Menteri Pendidikan Malaysia perlu bergerak dengan lebih pro-aktif dan agresif dalam memastikan kebajikan dan hak pelajar dipelihara.

Bagi beliau, ini diantara kesan jika Dewan Rakyat atau Parlimen tidak bersidang, kerajaan mempunyai bidang kuasa seluas-luasnya dalam menentukan hala tuju negara tanpa ada sebarang proses semak dan imbang.