Malaysia Dateline

Kini Umno yang boleh pastikan titah Agong dan Raja-raja terlaksana

Tanggungjawab paling besar untuk mempastikan apa yang dititahkan oleh Yang Dipertuan Agong dan Raja-raja Melayu kini terletak pada Umno kerana hanya parti itu sahaja yang boleh memastikan kehendak baginda dan harapan rakyat tercapai.

Apakah kehendak baginda dan turut dituntut oleh rakyat? Ia adalah untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil bagi membolehkan mereka menjalankan tugas memimpin negara untuk keluar dari pandemik ini.

Ia ditegaskan melalui kenyataan Majlis Raja-raja yang dikeluarkan oleh oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja.

Baginda semua bertitah,  darurat tidak perlu disambung lagi selepas 1 Ogos nanti dan pentingnya sebuah kerajaan yang stabil dan mendapat keyakinan serta mendapat sokongan majoriti rakyat.

Raja-raja Melayu dalam kenyataan mereka berkata, “penting sebuah kerajaan yang stabil serta mendapat sokongan majoriti takyat.” Inilah sebenarnya yang gagal disahkan oleh kerajaan PN apakah mereka mendapat sokongan majoriti atau tidak.

Perkara ini turut diakui oleh Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagaimana yang dinyatakan beliau dalam kenyataannya sebaik sahaja Yang Dipertuan Agong mengeluarkan titah baginda..

Umno mendokong dan memandang serius saranan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong akan keperluan mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi dengan efektif dalam menangani Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara, kata Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataannya.

Bagaimanakah caranya? Di sinilah peranan Umno.

Pertama, Umno kena menjauhkan diri dari kerajaan PN yang sifatkan oleh rakyat dan disahkan oleh kenyataan Majlis Raja-raja bahawa kerajaan ini telah gagal menjalankan tugasnya dengan baik.

Jika Umno terus kekal dengan kedudukannya iaitu Bersama dengan kerajaan PN, selagi itulah apa yang dihasratkan rakyat dan juga Raja-raja tidak akan tercapai.

Lagipun itulah yang disuarakan oleh para perwakilan dalam Mesyuarat Agung Umno yang lalu.

Apabila Umno umumkan sahaja bahawa parti itu tidak lagi bersama dengan kerajaan yang ada, maka dengan sendiri kerajaan yang ada akan jatuh.

Apabila jatuh, bolehlah rundingan dibuat untuk menentukan apakah bentuk kerajaan yang ‘stabil dan kukuh’ yang perlu dibentuk itu. Siapakah yang perlu memimpinnya dan siapakan yang perlu ada dalam kerajaan ini.

Rakyat sekarang sangat memerlukan kerajaan yang stabil. Hanya dengan kerajaan yang stabil dan kukuh sahaja dapat membela nasib mereka bukan kerajaan yang siang malam berfikir macamana mahu mengekalkan kuasa mereka sahaja.

Jika kerajaan PN yang ada berkata, mereka mempunyai cukup majoriti walaupun tanpa sokongan Umno, maka ia perlu dibuktikan di Parlimen. Apatah lagi Yang Dipertuan Agong sendiri sudah menitahkan agar Parlimen bersidang segera.

Buktikan di Parlimen bahawa anda mempunyai sokongan yang cukup. Jika berjaya, maka ketika itulah tidak ada lagi pihak yang berani menggoncangnya. Dan stabillah kerajaan itu.