‘Kipas bergoyang, mahu roboh atap bergegar’ – Penduduk cemas rasai gegaran

Oleh ARIF ATAN

Penduduk Sabah di beberapa kawasan di sekitar Kunak dan Tawau menceritakan detik cemas termasuk kipas bergoyang dan atap bergegar apabila dikejutkan dengan gegaran akibat gempa bumi lemah lewat malam tadi.

“Kawasan flat Balung di Tawau terasa gempanya. Ingatkan perasaan apa, rupanya memang ada gempa.

“F1-A paling atas sampai kipas bergoyang. Memang rasa (gegaran) sampai terdiam semua kami di rumah. Ingatkan apakah atau perasaan jak, rupanya gempa,” kata seorang penduduk tempatan di media sosial.

Satu tangkap layar sembang di WhatsApp pula berkenaan perasaan penghuni ketika beberapa saat gegaran di kawasan terbabit yang dakwanya bergelap.

“Ya Allah. Macam mahu roboh atapku bergegar. Aku teriak sudah sama abangku, sangka ada haiwan berlari di atas atap,” katanya.

Gegaran akibat gempa bumi lemah pada 11.10 malam tadi itu berukuran 3.2 pada skala Richter.

Menurut laman web Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), pusat gempa itu berlaku di koordinat 4.6 darjah utara dan 118.2 darjah timur dengan jarak 13 kilometer barat daya dari Kunak.

Baca juga Rusuhan Iran: 185 terkorban, ibu remaja yang mati dipukul pula bunuh diri

Baca juga Sanggup tipu orang tua, warga asing jual telefon bimbit palsu dengan harga 1.2 juta rupiah