Malaysia Dateline

Kipas siling uzur, berkarat jatuh timpa murid, patah jari-Bapa terkilan sekolah lengahkan rawatan anaknya

Kipas siling yang sudah uzur bahkan berkarat telah terjatuh dari siling menyebabkan seorang murid perempuan tahun 2 patah jari manakala tiga orang lagi cedera ringan.

Difahamkan, kejadian berlaku sekitar jam 10 pagi di bilik darjag murid tahun 2 sekolah di Selama Perak.

Bapa kepada pelajar berkenaan yang mahu dikenali sebagai Mohd, 32, berkata, selain patah jari, anaknya juga mengalami beberapa kecederaan lain di bahagian dada akibat terkena kipas terbabit.

“Secara kebetulan, meja anak saya betul-betul di bawah kipas itu, jadi kecederaan dialaminya agak serius berbanding yang lain.

“Apabila dibawa mendapatkan rawatan ke hospital, doktor maklumkan tulang jari kiri tangan anak saya telah patah dan terpaksa disimen,” katanya dipetik inar Harian.

Mohd yang melihat sendiri keadaan bilik darjah itu mendapati, kipas terbabit telah pun uzur, berkarat dan sepatutnya tidak selamat untuk digunakan.

Katanya, penggunaan peralatan dan kemudahan yang uzur seumpama itu tidak sepatutnya berlaku kerana melibatkan isu keselamatan murid dan guru.

“Sekiranya perkara ini tidak mendapat perhatian sewajarnya, tidak mustahil kejadian sama boleh berlaku lagi,” katanya.

Apa yang terkilan, menurut bapa murid terbabit apabila pihak sekolah tidak menyegerakan rawatan anaknya dan mangsa lain, sebaliknya menunggu ibu bapa hadir membawa sendiri anak ke hospital.

“Kes sebegini sepatutnya boleh dikira kecemasan tetapi pihak pengurusan sekolah memberi alasan mengikut peraturan ditetapkan Jabatan Pendidikan.

“Ketika isteri saya tiba di sekolah, tangan anak saya ketika itu sudah bertukar warna dan sepatutnya perlukan rawatan segera tetapi mereka masih lagi memintanya mengisi buku log kebenaran keluar sekolah dan sebagainya.

“Saya terima kemalangan ini berlaku kerana ia bukanlah disengajakan, cuma terkilan dengan tindakan pihak sekolah yang melambatkan proses rawatan ke atas anak saya dan mangsa lain,” jelasnya.

Satu laporan polis telah dibuat Mohd berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama pada petang Selasa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Selama, Superintendan Mohd Sabri Saad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan.

Baca juga: Lelaki ini dedah silibus murid umur 6-7 tahun di USA macam ‘level’ tadika Malaysia

Baca juga: Tergamak culik dan samun nenek tua, 4 lelaki berjaya larikan emas dan duit RM16