Kira-kira 5,000 ahli Umno Sandakan,Kinabatangan sertai Warisan

Kira-kira 5,000 ahli Umno Sandakan,Kinabatangan sertai Warisan

 Kira-kira 5,000 anggota Umno daripada Sandakan dan Kinabatangan menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan) semalam.

Menurut Setiausaha Agung Warisan Loretto Padua Jr, anggota berkenaan daripada 10 cawangan Umno di Sandakan dan 66 cawangan di Kinabatangan.

Bekas Ketua Wanita Umno Bahagian Sandakan, Noraini Sulong mengetuai 1,000 anggota parti itu  menyertai Warisan.

“Warisan menyambut baik kemasukan anggota-anggota baharu. Kita menjangka ada lagi yang akan menganggotai Warisan.

“Saya memohon agar semua pihak (anggota Warisan) sama ada lama atau baharu terus bekerjasama untuk kerajaan Sabah dan bantu perkukuhkan parti Warisan,” kata Loretto ketika ditemui pemberita selepas majlis penerimaan anggota baharu itu di sini.

Noraini berkata keputusannya bersama bekas anggota Umno lain adalah atas keinginan masing-masing bermatlamatkan untuk menyumbang ke arah kemajuan Sabah.- BERNAMA