Malaysia Dateline

Kisah Abang ‘derhaka’ kepada Ayah

Sana-sini saya lihat muat naik kenyataan rasmi Perdana Menteri yang umumkan segala Ordinan Darurat akan dibentang di Parlimen pada September seperti kehendak Istana Negara.

Ramai mengatakan Perdana Menteri membuktikan beliau derhaka kepada Istana Negara dengan pengumuman tersebut.

Saya cuma nak sebut begini saja.

Istana tidak ambil apa-apa tindakan pun terhadap Perdana Menteri dan Jemaah Menteri termasuk Peguam Negara.

Jika benar Perdana Menteri, Jemaah Menteri dan Peguam Negara menderhaka atas dukacita Istana, tak kan tiada apa-apa tindakan dari Istana?

Mungkin juga Istana sudah memaafkan keterlanjuran Perdana Menteri apabila akur untuk membawa Ordinan Darurat ke Parlimen.

Jika Istana memaafkan, saya syorkan cukup-cukuplah bermain sentimen Kerajaan Derhaka.

Siapa kita nak kata derhaka sedangkan yang murka sudah memaafkan.

Begini saja, contohnya…

Ayah kesempitan lalu Ayah tulis dalam kumpulan WhatsApp keluarga… “Ayah minta Abang kirim duit RM1,000 secepat mungkin.”

Abang kata nantilah Abang kirim, lagi pun ayah tidak beritahu bila ayah nak pakai duit. Ayah cakap segera saja.

Kita cakap kat Abang, Ayah kata segera tu secepat mungkin. Dan Ayah nak RM1,000.

Abang kata baik, nanti Abang kirim RM200 dulu. Bulan depan Abang kirim lagi RM200.

Ayah mesej dalam kumpulan WhatsApp cakap Ayah kecil hati dengan Abang sebab Ayah nak RM1,000 tapi Abang kirim RM200.

Kita cakap ABANG DERHAKA pada Ayah. Abang kurang ajar. DERHAKA.

Akhirnya, pagi tadi Abang tulis dalam WhatsApp, Abang kata bulan depan Abang kirim RM1,000 pada Ayah. Akhirnya, Abang akur.

Kita kata Abang Derhaka. Ayah tak kata apa pun. Ayah ucap terima kasih pada Abang sebab akhirnya Abang setuju kirim RM1,000.

Kita? Dok jaja Abang derhaka. Tak henti-henti tulis Abang derhaka dan minta Ayah remove Abang dari group sebab Ayah admin. Tapi Ayah dengan Abang elok-elok saja. Kekal tenang. Ayah tidak komen apa pun.

Nasihat saya. Cukup-cukuplah. Entah-entah ayah dengan abang dok mesej tepi sedang kita dok riuh dalam group.