Kisah cinta pertama Nabi Muhammad SAW diragui, Jakim akan panggil Ustaz Don Daniyal

Oleh MAISARAH AISYA

Kecoh di media sosial mengenai pendakwah Ustaz Don Daniyal yang berkongsi hal berkaitan kisah hidup Nabi Muhammad SAW.

RTM sebelum ini mengambil keputusan untuk ‘merehatkan’ pendakwah tersebut daripada mengendalikan program Salam Baitullah.

Ini adalah susulan Ustaz Don mendakwa Nabi Muhammad SAW pernah melamar seorang wanita, Ummu Hani sebanyak tiga kali dan cinta pertama Rasulullah.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sebelum ini mengeluarkan kenyataan mengenai Ummu Hani sebagai cinta pertama Nabi Muhammad SAW turut diragui.

Disebabkan itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan memanggil Ustaz Don bagi mengadakan perbincangan.

Pada masa sama mendapatkan penjelasan daripada tuan badan berhubung kontroversi yang melanda pendakwah terkenal itu.

Menurut Kosmo! Online, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar akan berbincang dengan Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd. Yusof sebelum pertemuan tersebut.

“Kita dalam Islam, asas agama untuk menasihati antara satu sama lain dan Jakim sebelum ini memang mengambil pendekatan untuk menasihati.

“Jadi, saya akan bercakap dengan Ketua Pengarah Jakim dan bincang benda ini, ia tidak perlu serius sangat.

Over the table atau tea (secara santai), kita boleh jemput,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Pada masa Mohd. Na’im menasihatkan individu terlibat untuk sentiasa merendah diri dan mengakui kesilapan sekiranya ada.

“Cuma kena ada sifat rendah diri untuk terima kita silap, mengakui kesilapan tidak kira sebesar mana kita.

“Kena ada sifat tawaduk untuk terima kesilapan dan terus pandang depan,” katanya.

Baca juga: Duit KWSP RM750,000 licin dalam masa 7 tahun, lelaki ini saran pesara berjimat cermat