Malaysia Dateline

Kisah kanak-kanak tanpa kerakyatan menang RM10,000 pertandingan menulis AMANAH

Penulis yang juga pendidik kepada kanak-kanak yang tidak mempunyai kerakyatan di Semporna, Sabah Jefry Musa telah mendapat hadiah pertama pertandingan menulis skrip dan cerita anjuran AMANAH dan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000.

Dengan tulisannya bertajuk “Ndak Tahu” yang mencerita kesah benar para pelajarnya yang tidak mempunyai kad pengenalan di Sabah, ¬†Jefry yang tidak sempat hadir menerima hadiah itu mewakilkan rakan perjuangannya untuk menerima hadiah itu.

Hadiah itu disampaikan oleh Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Salahudin Ayub di majlis berbuka puasa di perkarangan Wisma Amanah petang tadi.

Hadiah kedua dimenangi oleh Nur Ilyani Alias dari Sarawak melalui tulisannya bertajuk “Nuasa suara kecil di atas pentas merdeka” membawa pulang wang tunai berjumlah RM8,000 bersama sijil.

Hadiah ketiga pula dimenangi oleh Mohammad Naguib Ghazali dari Perak melalui tulisannya bertajuk Cerun yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM5,000 bersama sijil.

Tiga hadiah sagu hati yang membawa pulang RM1,000 setiap satu dimenangi oleh Noor Hanisah Othman melalui tulisannya yang berupa sebuah cerpen bertajuk “Pergilah, Iman!” Mazlan Manan melalui skrip filem pendek bertajuk “Jalan” dan Hasni Hassim dengan tulisannya berupa sebuah cerpen bertajuk “Petang yang condong di ngarai kota.”

Pertandingan menulis skrip dan cerita pendek dilancarkan AMANAH sempena Kongresnya yang ke dua di Ipoh Disember tahun lalu.

Kesemua 50 tulisan yang diterima diadili oleh enam juri professional yang mempunyai kepakaran dalam bidang penulisan skrip dan cerpen.