Kisah kenduri vaksin dan Khairy tergolek jatuh ke dalam parit

Oleh Oleh LUQMAN HISYAM

Pada Disember tahun lalu, Malaysia digemparkan dengan berita Khairy Jamaluddin selaku Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah terjatuh semasa berbasikal melanggar lubang di sebatang jalan, lalu tergolek dan terhumban masuk ke dalam parit. Innalillahi wa inna ilaihi rojiun. Alhamdulillah beliau hanya mengalami kecederaan ringan.

Akibat tragedi tersebut pelbagai berita tular antaranya terdapat seorang wanita terkejut apabila basikal milik suaminya yang sama jenis dengan Khairy itu berharga sama dengan sebuah kereta Myvi sekitar RM45000. Tetapi berita yang paling menarik adalah betapa gelabahnya pihak JKR Kuala Langat sehingga dengan cekap, pantas dan efektif memohon maaf atas kejadian insiden tersebut dan akan membaiki segera lubang kecil di jalanraya yang telah mengakibatkan seorang menteri terhumban dan tergolek jatuh ke dalam parit.

Saya fikir mungkin Khairy telah lupa insiden musibah tersebut yang berlaku kurang lebih 6 bulan yang lalu ke atas dirinya. Jika musibah itu terpahat di dalam ingatan beliau, teringat bagaimana dirinya terlanggar lobang lalu tercampak, tergolek dan terhumban ke dalam parit, pasti prestasi beliau dalam menguruskan hal vaksin sekarang ini tidak huru-hara dan memalukan. Kerana boleh jadi kemalangan yang berlaku itu boleh meragut nyawa beliau.

Malangnya tindak tanduk Khairy tidak sama seperti JKR Kuala Langat. Mungkin masih tiada vip, vvip, kerabat atau nauzubillah ahli keluarga beliau yang terdekat meninggal kerana lambat menerima vaksin.

Sdr Khairy Jamaluddin, angka kematian akibat pandemik di Malaysia sedang meningkat dan diramalkan akan mencecah puluhan ribu seperti angka nilai basikal mewah anda itu. Allah swt telah memberi peluang anda hidup kerana ada jutaan nyawa yang perlu anda selamatkan.

Bajet 2021 telah meluluskan RM 3 bilion, semasa itu Khairy dengan sinis mengatakan kos vaksin Malaysia lebih murah dari kos yang negara Belgium peruntukan. Beliau juga menambah pada ketika itu tempahan vaksin adalah mencukupi. Tiba-tiba sewaktu parlimen tidak bersidang walaupun telah mendapat perkenan Yang Dipertuan Agong untuk bersidang semasa tempoh ordinan darurat ini, Khairy telah meminta sejumlah RM5 bilion lagi bagi Program imunisasi Kebangsaan dengan alasan kos telah meningkat.

Fasa kedua Program Imunisasi Kebangsaan semasa dilancarkan adalah untuk warga tua dan pesakit kronik tetapi tiba-tiba dibuka secara sukarela untuk rakyat di Kuala Lumpur dan Selangor membuatkan pusat vaksinasi di PWTC sesak dalam fasa PKP yang tidak membenarkan perhimpunan awam di adakan.

Seperti kisah dahulu, khairy menyalahkan kontraktor yang mengakibatkan Hospital di kawasan parlimen beliau tak siap-siap, kali ini Khairy hanya memohon maaf kerana kegagalan sistem pendaftaran website dibawah kendaliannya. Ironinya, Khairy adalah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Telatah beliau ini sama seperti menempah dewan dan makanan kenduri untuk 500 orang, tetapi Khairy jemput 5000 orang. Apabila makanan habis tak cukup, orang marah, Khairy hanya menjawab:

“Saya tak sangka pulak orang datang ramai macam ni..maaf ya!”

Lebih mengejutkan terbongkar sebenarnya beliau buat kenduri vaksin tempoh hari hanya sebagai ujikaji untuk lihat respon rakyat Malaysia terhadap program vaksin di Malaysia.
Setelah itu Khairy mengumumkan tiada lagi kenduri vaksin selepas ini.

Jikalau sewaktu beliau tergolek lalu tercampak ke dalam parit dan menyebabkan hidung beliau pecah dan mulut jadi sumbing, tengkorak kepala pula retak..tentu saya rasa beliau sedar betapa cuai keputusannya membuat kenduri vaksin di PWTC itu. Mungkin akan menambah bilangan jangkitan Covid19 dan juga kematian.

Khairy selaku graduan Universiti Oxford, juga sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi sebenarnya memegang portfolio penting dalam membendung penularan wabak covid19 di Malaysia.

Adalah memalukan dengan ilmu dan pengalaman yang beliau ada cuma dapat menghasilkan Program Imunisasi Negara, itupun ternyata gagal.

Bercakap mengenai sains, apa yang rakyat mahu lihat adalah Malaysia dapat menghasilkan vaksin sendiri. Seperti negara Republik Islam Iran telah hasilkan walaupun mendepani sekatan ekonomi yang dahsyat oleh rejim Amerika Syarikat. Mujur negara jiran seperti Indonesia atau Thailand juga tidak menghasilkan vaksin mereka sendiri, jika tidak sungguh memalukan.

Mengenai perihal teknologi, segala kegagalan kerajaan dalam persediaan melawan virus Covid19 adalah berpunca sistem teknologi data yang lemah. Salah satu contoh bukti adalah perihal pusat kuarantin MAEPS yang pada mulanya hanya disediakam untuk menampung sekitar 600 orang, dilengkapi dengan pelbagai fasiliti serba canggih, kubikel tempat tidur yang selesa, malah siap dengan robot menghantar makanan!

Tetapi akhirnya kini bertukar menjadi wad tentera di medan perang.

Tanpa teknologi data yang canggih akan menyebabkan ramalan dan unjuran tidak tepat yang seterusnya akan membawa musibah besar.

Inovasi pula melibatkan penghasilan dan pembuatan, sebagai contoh sistem ujian covid19 untuk setiap negeri agar dalam tempoh masa yang singkat 90% rakyat Malaysia telah disaring untuk mengetahui angka sebenar yang telah dijangkiti virus bahaya ini. Seterusnya langkah mengawal dan membendung boleh segera dilaksanakan.

Mengapa Khairy tidak mengambil contoh bagaimana negara Brunei berjaya mengekang penularan virus Covid19 ini. Memberi alasan negara Brunei kecil adalah suatu yang menyakitkan hati yang mengundang kemarahan kerana Khairy adalah lulusan Universiti Oxford.

Adakah Khairy tidak tahu dan rasa bersalahkah apabila melihat semakin ramai anak-anak kecil dan warga tua di pusat kuarantin di Maeps dan pusat-pusat kuarantin yang lain menjalani kehidupan seperti di asrama? Di mana perginya komitmen Khairy dan kesungguhan beliau seperti ditunjukkan sewaktu membuka pusat gym untuk kanak-kanak istimewa milik keluarga beliau yang gah dan canggih?

Anak-anak kecil dan warga tua di pusat kuarantin juga manusia yang ada emosi, yang memerlukan keselesaan seperti yang ada di gym kanak-kanak istimewa milik keluarga beliau.

Tahun 2020 bangga apabila kes menurun, tetapi sejak kegagalan demi kegagalan pentadbiran PN seolah-olah tidak serius dalam bertempur memerangi wabak covid19 ini agar darurat politik berpanjangan.

Jikalau Khairy ada menonton siri filem Ertugrul sejarah empayar Uthmaniyah di Turki, sejarah telah membuktikan pengkhianat dan orang yang bersekongkol dengan pengkhianat tidak akan pernah berjaya malah akan mendapat pengakhiran yang amat mengaibkan.

Mungkin inilah sebabnya orang bijak seperti Khairy ini dilihat gagal apabila bersama PN.