Malaysia Dateline

Kisah malam tarawih dan larangan rentas negeri

Waktu tengah solat tarawih di Masjid Hussain Seremban 2 (malam) tadi, saya dengar orang di sebelah menangis teresak-esak.

Saya pun nak tegur risau juga. Abang ini menangis pula, baru rakaat pertama lepas imam baca surah Fatihah.

Jadi, saya biarkan saja. Dia asyik menangis saja bila sudah habis solat witir dia bangun dan terus duduk dekat luar.

Saya pun tengokkan saja. Kemudian waktu nak balik saya pun terus pergi dekat kereta, tak sangka pulak dia park sebelah kereta saya. Nampak dia sugul saja tepi kereta.

Saya pun tegurlah dia balik mana. Dia kata balik hostel. Dia kerja dekat sini. Kampung dia dekat Kedah. Saya pun tanya selamba saja kenapa abang menangis tadi waktu solat?

Anda tahu dia cakap apa?

Dia menangis semasa imam baca Fatihah, dia terkenangkan arwah bapanya yang dah meninggal dunia. Kesal sebab tak dapat balik sewaktu PKP.

Saya tanya dia kenapa tak balik. Dia tak mahu cerita sebab katanya macam-macam rintangan dan masalah. Tapi dia sempat balik waktu kebumi cuma waktu sakit tidak sempat balik. Akhir dia jumpa, tahun lepas.

Dengan saya sekali bergenang air mata. Dia pula baru kena buang kerja dan tidak ada duit nak balik kampung.

Sebelum balik, saya cuba beri sumbangan sedikit. Langsung dia tak mahu. Dia bukan tolak rezeki. Dia kata dia masih sihat untuk cari kerja dengan hasil sendiri. Puas saya pujuk dia, dia tak ambil langsung.

Nampak tak? Ada orang yang betul nak balik kampung sebab hal macam ni tapi tak dapat. Ada orang lain pula, dah dapat balik, senang-senang saja salahgunakan.

Semoga kau dipermudahkan urusan bang. Kredit: NS Kini