Kisah Mercedes S600 dan MB Bercuti

Oleh KIM SYAZIE

Cerita mengenai Mercedes Benz S600 atau Lexus MPV untuk Perdana Menteri ini hanya sesuai bagi diktator dan despot Dunia Ketiga saja. Atau untuk ketua negara dan ketua kerajaan negara kaya.

Itu pun banyak daripada mereka sangat berjimat-cermat dan sederhana.

Kita ambil contoh Canselor German. Dia diberikan kereta Mercedes Benz S600 dan Audi 8.

Canselor ini bersamaan dengan Perdana Menteri. Presiden Jerman adalah ketua negara yang tugasnya berkaitan adat istiadat.

Tapi German negara besar dan maju. Penduduknya 83 juta dan ekonominya keempat terbesar di dunia. Mercedes dan Audi adalah antara kereta buatannya. Satu lagi Volkswagen.

Angela Merkel adalah Canselor German zaman moden yang paling berjaya dan dihormati. Dia menjadi Canselor selama 16 tahun hingga 2021.

Dia dan suaminya tinggal di apartmen biasa di Berlin dan membeli sendiri barang keperluan dapur.

Gajinya masa jadi Canselor €315,307 (kira-kira RM1.5 juta) setahun. Sekarang Canselor German adalah Olaf Scholz.

Kita negara membangun dengan penduduk 33 juta dan ekonomi ke-37 di dunia. Perdana Menteri kita dapat gaji RM264,000 setahun. Itu tak termasuk segala macam kemudahan dan ganjaran.

Tengok sajalah pengiring bermotosikal Perdana Menteri kita. Kalah Raja Inggeris.

Kebanyakan masa Dr Mahathir Mohamad jadi Perdana Menteri, dia pakai kereta Proton Perdana walaupun dia pernah pakai kereta mewah yang diimport sebelum adanya Proton.

Semua Menteri dan pegawai kanan yang berhak dapat kereta rasmi, semua pakai Proton Perdana.

(Saya pun masa 22 bulan dengan kerajaan dapat Proton Perdana juga tapi saya tak ambil. Saya pakai kereta sendiri yang lebih jimat minyak – Toyota Camry Hybrid).

Dua Perdana Menteri selepas itu pakai macam-macam kereta. Boleh jadi kereta mereka sendiri. Yang mereka suka adalah Toyota MPV jenis Alphard atau Vellfire.

Media massa melaporkan yang Perdana Menteri sekarang, Anwar Ibrahim pakai semula kereta Proton Perdana dan tak ambil gaji.

Saya rasa dia boleh ambil gaji. Kalau tidak perlu untuk kegunaan sendiri, boleh tubuh yayasan kebajikan tapi janganlah pula langgar peraturan.

Jadi, idea siapa nak beli kereta Mercedes Benz S600 untuk kegunaan Perdana Menteri ini?

Orang kanan Mahiaddin Md Yasin, Marzuki Mohamad dalam tampalan Facebook, antara lain berkata: “Sebagai Perdana Menteri pada masa itu, Tan Sri Muhyiddin diberikan dua pilihan kereta rasmi iaitu MPV Lexus dan Mercedes S600.

Harga kedua-duanya terlalu mahal dan minit terakhir Tan Sri Muhyiddin kepada Jabatan Perdana Menteri ialah supaya harganya dikaji dan dirunding semula.

Kelulusan akhir perlu dibuat oleh Kementerian Kewangan. Maksudnya dia setuju dengan cadangan itu cuma mahu harga dikurangkan.

Soalnya siapa yang bagi Mahiaddin dua pilihan kereta super mewah itu? Ketua Setiausaha Negara atau Jabatan Perdana Menteri sendiri?

Tak kiralah siapa tapi yang jadi “capo di tutti i capi” masa itu adalah Mahiaddin. Kereta Mercedes yang dicadangkan itu, kalau ikut harga biasa yang disebut, dekat RM700,000. Kalau MPV Lexus RM1.14 juta.

Harap Anwar tidaklah mabuk kereta! Boleh beli kereta baru ganti Proton Perdana yang dah tak dikeluarkan.

Tapi jangan macam sesetengah despot yang biarkan rakyat jelata papa kedana tapi mereka diarak ke hulu hilir dengan Mercedes Maybach.

Kemudian pasal Menteri Besar Pas negeri Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar yang dikatakan bercuti di Selandia Baru ketika negeri sendiri dilanda banjir. Selandia Baru adalah nama Indonesia bagi New Zealand.

Ceritanya mudah saja. Pada bila-bila masa negara dilanda banjir atau malapetaka lain, pegawai tinggi kerajaan hanya boleh berada di luar kawasan tanggungjawab atas urusan rasmi penting atau rawatan kesihatan kritikal saja. Kalau bercuti sambil berubat, kena bagi tahu.

15 Maaf cakaplah kalau saya kata, tingkah laku, tindak-tanduk dan budi bahasa pemimpin-pemimpin Pas ini kerap mengelirukan dan tidak secocok dengan dakwaan keislaman parti mereka.