Malaysia Dateline

‘Kisah peralihan ini begitu mendebarkan’

Dalam politik, seminggu merupakan satu tempoh yang amat panjang. Dalam tempoh itu, pelbagai perkara boleh terjadi. Sama ada memberikan kesan yang baik atau buruk, semuanya berkemungkinan boleh terjadi dalam tempoh tujuh hari itu.

Jika tempoh yang begitu singkat pada tanggapan umum itu pun pelbagai perkara boleh berlaku, apatah lagi kalau sesuatu perkara berkaitan politik mengambil masa berbulan-bulan.

Begitulah juga kisahnya dengan transisi kuasa antara Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kalau diikut atas kertas, tahun ini Malaysia bakal menerima Perdana Menteri yang kelapan.

Kalau diikutkan secara tepat, peralihan jawatan Perdana Menteri itu akan berlaku pada Mei 2020 kerana mengikut perjanjian antara komponen Pakatan Harapan (PH) bahawa Dr Mahathir hanya akan menjadi Perdana Menteri selama dua tahun sahaja.

Kisah peralihan ini begitu mendebarkan. Pembangkang seperti Umno dan Pas cuba menangguk di air keruh dengan berusaha melaga-lagakan kedua-dua pihak. Tidak cukup di luar, di dalam Dewan Rakyat pun terdapat ahli Parlimen pembangkang yang cuba menjadi batu api.

Tetapi itu adalah lumrah. Kalau namanya pembangkang, memang begitulah sifatnya iaitu untuk membuat kekacauan dan menimbulkan spekulasi terhadap pentadbiran Kerajaan.

Itulah yang disaksikan beberapa minggu sebelum ini apabila Pas secara tiba-tiba mengambil sikap menyokong kepimpinan Tun Dr Mahathir sehingga habis penggal.

Tidak cukup berusaha membuat cadangan membawa undi percaya kepada Perdana Menteri, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan pula memberi pandangan lucu bahawa peralihan kuasa tersebut sebagai tindakan yang mencabar kuasa Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Tetapi pada masa sama, dalam kalangan PH pula memang ada pihak dengan mudah memakan umpan yang ditaburkan oleh pembangkang sehingga wujud spekulasi tentang tindakan untuk membentuk Kerajaan Negeri Melaka sekaligus menjatuhkan kepimpinan YAB Adly Zahari sebagai Ketua Menteri Melaka.

Pada masa ini, cabaran sebenar terletak kepada Anwar Ibrahim. Jika sebelum ini beliau berjuang untuk menguasai pentadbiran Kerajaan Persekutuan sebagai pembangkang, tetapi sekarang beliau perlu berhati-hati.

Jarak beliau dengan kerusi Perdana Menteri begitu hampir sekali malah kunjungan mingguan beliau bertemu Tun Dr Mahathir begitu meyakinkan bahawa pejabat itu nanti akan didudukinya.

Tetapi perkiraan politik sebenar mungkin tidak semudah itu. Jika tersilap langkah, impian besar itu terpaksa diulang semula dengan kerahan keringat yang lebih memeritkan.

Anwar kini berada dalam situasi ‘tarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak’. Setiap kenyataan disebarkan dalam media-media perlu diulas dengan berhati-hati.

Setiap provokasi kadang kala memang menyakitkan hati tetapi silap perkiraan untuk menjawab berisiko menyekat laluannya sebagai Perdana Menteri.

Tambahan pula, kedua-dua belah pihak semakin agresif memainkan atau mendesak supaya peralihan ini ditepati pada Mei ini walaupun Anwar bersetuju untuk melanjutkan tarikh itu selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada November nanti.

Di samping watak agresif seperti Khairuddin Abu Hassan yang begitu vokal menolak peralihan kuasa diserahkan kepada Anwar Ibrahim, di pihak Anwar pula muncul watak seperti Ezam Mohd Nor yang ketika ini aktif membuat jerayawara supaya peralihan dilaksanakan segera.

Tidak hanya desakan kepada Dr Mahathir, Ezam juga begitu lantang mengkritik kepimpinan PKR seperti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dilihat gagal membawa agenda reformasi seperti diperjuangkan pada fasa awal kebangkitan rakyat.

Walau apa pun situasinya, sudah pasti 21 Februari ini dinanti-nantikan oleh pelbagai pihak kerana pada tarikh tersebut mesyuarat Majlis Presiden PH akan memuktamadkan isu peralihan kuasa. Semoga Pakatan Harapan kekal kukuh melaksanakan harapan untuk rakyat.

*Petikan dari akhbar Mingguan Amanah Bil 189.