Malaysia Dateline

Kisah saya melawat Vatican City

Saya fikir mungkin tidak begitu ramai rakyat Malaysia yang pernah melawat Vatican City, terutamanya di kalangan yang beragama Islam.

Namun saya ditakdirkan antara orang Melayu yang beragama Islam yang pernah sampai ke Vatican City. Saya bukan sekadar sampai ke Vatican City dan mengunjungi Sistine Chapel, malah saya juga pernah berada di dalam pejabat Cardinal Angelo Becciu, orang nombor dua dalam hiraki organisasi ‘The Holy See’ selepas Pope Francis.

Sepatutnya pada hari itu saya bersama rombongan mantan Ketua Menteri Melaka berada di pejabat Pope Francis sendiri, tetapi atas sebab tertentu Pope Francis terpaksa ke luar negara dan Cardinal Angelo Becciu menerima kunjungan kami. Tarikhnya ialah pada 9 September 2019.

Antara objektif lawatan tersebut ialah untuk mempromosi negeri Melaka sebagai destasi ‘pelancongan agama’ bagi para pengikut Katolik kerana Melaka mempunyai banyak peninggalan sejarah buat penganut Katolik. Selain itu, ia juga adalah untuk menggalakkan berlakunya dialog agama dan peradaban di kalangan umat manusia yang pelbagai.

Setahun selepas lawatan tersebut, Cardinal Angelo Becciu dilucutkan hak sebagai seorang cardinal kerana disiasat atas tuduhan menyalahguna kuasa dan menyeleweng dana gereja. Pada bulan Julai lepas, Angelo Becciu didakwa di Mahkamah Vatican atas pelbagai tuduhan melibatkan penyelewengan dana berjumlah USD412 juta.

Beliau adalah penjawat ‘The Holy See’ yang paling kanan yang pernah didakwa setakat ini.

Beliau didakwa menyalahguna kuasa meluluskan penggunaan dana gereja untuk membeli bangunan mewah di London di mana urusniaga tersebut menyebabkan kerugian besar berjuta-juta USD kepada pihak gereja.

Selain itu beliau juga didakwa menyalurkan dana yang besar dari gereja kepada syarikat milik abangnya di Sardina Itali. Beliau juga didakwa membelikan barang-barang mewah untuk seorang wanita bernama Cecilia yang dikatakan teman wanitanya.

Ketika berada di pejabat Cardinal Angelo Becciu pada tahun 2019, beliau banyak bercakap tentang ketuhanan, kepercayaan (faith), keamanan, dan ancaman pengganas.

Namun, demikianlah sifat sebahagian agamawan barangkali. Mulutnya berbicara tentang ketuhanan dan keimanan, tetapi tindakannya lain pula.

Tidak banyak beza dengan sebahagian golongan lebai di negara kita juga.