Malaysia Dateline

Kisah secangkir kopi O panas kegemaran Khalid Samad

“Bagi lah saya air lain pula.. asyik kopi je,” seloroh Menteri Wilayah, Khalid Samad kepada kakitangan di Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) mengenai minuman yang perlu dihidangkan ketika perjumpaan pegawai  iaitu  secawan kopi o panas  kemestiannya.

Secawan  kopi o panas itulah yang  mengeratkan hubungan Khalid  dengan pekerjanya, yang cukup prihatin dengan sebarang kesukaan ‘bos’ nya .

Disebalik secangkir kopi panas kegemaran  seorang menteri,   siapa Khalid dari sisi pandangan Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) Zulkefli Mohd Nani  terhadap bos nya  yang dikenali  lebih 20 tahun itu.

Zulkefli membuka bicara berkata, daripada  rambut warna hitam hingga bertukar putih, perkara yang mengagumkan pada figura Khalid adalah, seorang yang berpegang pada prinsip ‘walk the talk’ (apa yang dicakapkan, itulah yang akan dibuat).

“Susah atau senang sesuatu yang dirancang itu, kalau beliau rasa itulah yang terbaik untuk masyarakat, kerajaan atau pun parti, YB akan melakukannya juga. Beliau seorang yang berani membuat keputusan.

“Keperluan diri YB pun sangat mininum, pakai dua buah kereta yang dah lama,rumah pun ada satu je dan duit beliau biasanya untuk parti AMANAH.

“Dia pernah cakap masa Konvensyen Nasional Amanah, duit beliau sebulan tak pernah sampai RM1,000, itu memang betul. .

“YB juga seorang yang suka berterus-terang… he is very straight forward person. Beliau juga pernah tanya saya, waze tulis pukul berapa boleh sampai lokasi? Memang YB ini seorang yang akan menepati masa.

“Bila nak pergi ke sesuatu majlis beliau siap pesan, kalau kita sampai awal sangat tak boleh, nanti orang tak bersedia. Kita kena sampai tepat pada masanya supaya tak menyusahkan orang,” katanya yang mengagumi sikap Pengarah Komunikasi AMANAH itu terhadap pengurusan masa.

Kekuatan diri

Zulkefli menganggap Khalid umpama abangnya sendiri, berkata kekuatan Ahli Parlimen Shah Alam itu adalah ‘ketenangan’ yang dimiliki dalam dirinya, kerana beliau sendiri telah melihat dengan mata sendiri.

Katanya, pada 28 Ogos 2009, ada satu demonstrasi kepala lembu sebagai membantah cadangan pemindahan kuil Hindu ke kawasan penduduk Seksyen 23 di Shah Alam.

“Masa demonstrasi itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, pemuda Umno dan Barisan Nasional (BN) pun ada, mereka datang bukan nak berdialog, tapi hendak menyerang nak bagi kecoh lah.

“Yang menarik perhatian saya, YB siap boleh senyum walaupun suasana tengah tegang sampai ada orang cakap dengan beliau, ‘don’t smile like that‘. YB seorang yang tenang lah, tak cepat melatah,” katanya.

Zulkefli Mohd Nani ketika ditemubual wartawan Akmal Manaf di pejabatnya baru-baru ini.

Tekanan kerja

Ketika diajukan soalan mengenai tekanan bekerja lebih-lebih lagi kementerian yang melibatkan warga kota Kuala Lumpur, Zulkefli hanya ketawa lantas menjawab soalan yang ditanya.

“Di KWP ini.. kerja sampai malam itu perkara biasa.. beliau memang seorang yang kuat bekerja.. saya ingat lagi, setengah tahun pertama masa kami baru masuk pejabat sini (Putrajaya), dari 2 Julai 2018 hingga hampir hujung tahun lepas, ada sekali sahaja hujung minggu YB tak bekerja.

“YB bukan ambil cuti ya.. cuma hujung minggu itu dia betul-betul ada kelapangan masa. Satu hari itu beliau pergi ke kebunnya di Hulu Langat dan sehari lagi pergi ke Changlun, Kedah balik hari naik kapal terbang, sebab nak melawat ladang lembu kepunyaan rakannya yang duduk di Shah Alam,” jelasnya lagi sambil memberitahu, Khalid adalah seorang ketua yang selalu memikirkan orang lain, dan tiada istilah mementingkan diri sendiri.

Sementara itu, Zulkefli turut berkongsi cerita tentang bagaimana gerak kerja ketika mula-mula melangkah masuk ke kementerian itu.

“Masa mula-mula kita masuk KWP, kita ingat kementerian yang senang tapi itu semua tak tepat.Dalam Kuala Lumpur sahaja ada 13 parlimen. KL ini macam sebuah negeri, pengundi KL ada sejuta lebih tapi di negeri ada exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), di KL tidak ada jadi tanggungjawab memang besar kepada menteri.

Kadang-kadang Khalid hanya sempat makan Mee Meggie sahaja di pejabat kerana tekanan kerja dan tidak selera makan.

.“Pernah juga baru-baru ini masa majlis berbuka puasa cawangan Seksyen 7 Shah Alam, ada kenalan tanya macam mana kerja di pejabat menteri, saya cakap dari hari kami masuk kerja 2 Julai tahun lepas sekarang, kami macam naik roller coaster tak berhenti. Baru nak bersantai-santai, ada lagi cabaran mendatang,” katanya sambil ketawa dan mengganggap ia sebagai asam garam dunia pekerjaan.

Percaya antara satu sama lain

Di sebalik kejayaan yang telah dikecapi, apabila ditanya tentang rahsia atau pun prinsip yang diamalkan, Zulkefli dengan hati yang terbuka menceritakan ‘kepercayaan’ adalah segala-galanya.

“Kami ini satu kumpulan dan mempercayai antara satu sama lain.. Sejujurnya, saya juga mempercayai setiap orang dalam Pejabat Menteri sebab kami semua dah macam adik-beradik.. kita juga sering melawak bersama-sama untuk mengatasi tekanan kerja.. sebuah keluarga bahagia di pejabat.

“Paling penting ukhuwah kita ketika di pejabat ialah solat berjemaah di bilik YB. Beliau jadi imam kepada kami.Kalau seorang makmum hilang, beliau akan tanya pergi mana? Solat jemaah ini juga yang menyatukan hati kami semua di KWP.

“Saya diamanahkan untuk jadi ketua kakitangan di Pejabat Menteri.Kerjasama antara satu sama lain yang membuatkan kami bertahan sebab kerja seperti ini memang ada tekanan.. 6 bulan pertama itu saya balik rumah tak tengok siang. Pergi gelap balik pun gelap, balik dari pejabat pukul 1 atau 2 pagi, kalau pagi ada temu janji, 6.15 pagi dah keluar rumah itu perkara biasa.

“Rasa penat itu pun biasa tetapi kami semua bertahan demi negara dan agama.Kami nak tunjukkan pemimpin Islam harus bertindak membersihkan rasuah dan mengekalkan integriti dalam kalangan pegawai,” kata bapa kepada 2 orang cahaya mata itu.

Cuba penuhi jemputan

Menurut Zulkefli, walau sesibuk mana sekali pun, pemimpin berusia 61 tahun itu akan tetap berusaha untuk memenuhi jemputan yang diperolehinya.

“YB ini kalau dapat jemputan daripada Persatuan Orang Kurang Upaya (OKU), beliau akan cuba hadir ke program berkenaan. OKU memang sentiasa di hati beliau dan seperkara lagi, bagi YB, mesyuarat parti yang diwakilinya, iaitu AMANAH memang perjumpaan yang penting dan perlu menghadirinya.

“Kalau anda nak tahu apa yang penting lagi kepada beliau ialah isu golongan berpendapatan rendah.Isu berkenaan sentiasa menjadi keutamaannya.

“Kalau isu antarabangsa pula, beliau suka isu Palestin. Saya pernah pergi Gaza dengan beliau kalau tak silap 2010 atau 2011 macam tu lah isu Palestin memang sentiasa dekat di hati YB itu memang saya tahu.

“Dalam kesibukan kami bekerja, saya juga berharap beliau ada lebih masa untuk berehat dan juga bersama dengan keluarganya. Saya kesian tengok dia sebenarnya masa dia banyak digunakan untuk berkhidmat dengan masyarakat.

“Kalau orang kecam dia, kami pun turut terasa sebab kami anggap YB ini macam abang sendiri,” katanya Zulkefli sambil menambah Khalid seorang yang suka makan daging kambing dan makan burger.